Remaja hilang ketika mandi sungai ditemukan lemas
BALING - Remaja yang hilang ketika mandi bersama lapan rakannya di Sungai Ketil, Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil di sini, ditemukan lemas pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat yang mengesahkan kejadian itu berkata, mayat mangsa, Muhammad Fakhrullah Mohamad,15, ditemukan tersangkut pada akar pokok dalam air di lokasi sama dia dilaporkan lemas.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa sedang berenang bersama rakan-rakannya sebelum dipercayai lemas dan tenggelam pada jam 5.30 petang.
"Mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Bemban merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Puteri.
"Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 6.15 petang, Selasa dan pusat kawalan tempat kejadian sudah diaktifkan pada hari sama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 10.07 pagi selepas operasi mencari mangsa yang ditangguhkan malam Selasa diteruskan semula pada pagi Rabu.
"Sebelum ini, bomba menerima laporan kejadian pada jam 6.29 petang dan menggerakkan sepasukan anggota BBP Baling bersama jentera untuk mencari dan menyelamat mangsa.
"Tindakan awal yang dilakukan anggota adalah dengan melakukan pencarian di permukaan air di sepanjang lokasi mangsa terjatuh dan gigi air sungai," katanya.
Beliau menambah, Pusat Kawalan Operasi (PKB) Kuala Merah diaktifkan pada jam 8 malam, namun operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan sementara pada jam 10 malam, Selasa.
Katanya, mayat mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah selepas operasi disambung semula pada jam 8.42 pagi Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!