Faktor fizikal bukan alasan menyerah kalah - Nurelfira

Nurelfira meraih emas dalam acara 80m lari berpagar perempuan B-14 pada Kejohanan Trek dan Padang WA State 2024 di Perth, Australia baru-baru ini. Foto FB Karim Batjo.
Nurelfira meraih emas dalam acara 80m lari berpagar perempuan B-14 pada Kejohanan Trek dan Padang WA State 2024 di Perth, Australia baru-baru ini. Foto FB Karim Batjo.
A
A
A

BERPEGANG kepada prinsip tidak menyerah kalah sebelum berjuang menjadi kunci kejayaan kepada Nurelfira Umaira Mohd Yusof atau Fira, yang mencipta sensasi memenangi pingat emas acara 80 meter (m) lari berpagar perempuan bawah 14 tahun (B-14) pada Kejohanan Trek dan Padang WA State 2024 di Perth, Australia baru-baru ini.

Nurelfira Umaira, 13, yang bertubuh kecil dan berketinggian 151 sentimeter (sm) berkata, meskipun melihat saiz fizikal lawan lebih tinggi dan besar dalam saingan itu dengan pelari tertinggi lebih 180sm, itu bukan penyebab untuk dia gentar, malah lebih bersemangat dan yakin untuk membawa pulang pingat.

"Saya sasar emas, saya berlatih bersungguh-sungguh untuk dapatkan emas. Semasa melihat lawan saya tetap yakin menang kerana telah berlatih lama sejak darjah empat (10 tahun).

"Saya yakin menang walaupun saya paling pendek dan kecil," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Tawau pada malam Selasa.

Nurelfira mengungguli acara 80m lari berpagar perempuan B-14 pada Kejohanan Trek dan Padang WA State 2024 di Perth, Australia baru-baru ini. Foto FB Karim Batjo.
Nurelfira mengungguli acara 80m lari berpagar perempuan B-14 pada Kejohanan Trek dan Padang WA State 2024 di Perth, Australia baru-baru ini. Foto FB Karim Batjo.

Murid Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, Tawau itu berkata, cabaran lain yang dihadapi ialah menyesuaikan cara larian dalam tempoh singkat sebaik mengetahui terdapat perbezaan jumlah pagar digunakan pada acara 80m lari berpagar.

Nurelfira Umaira berkata, ini kerana kebiasaan di Malaysia acara itu menggunakan halangan lapan pagar, bagaimanapun di Australia sembilan pagar digunakan menjadikan jarak setiap pagar berkenaan lebih dekat.

"Susah sikit lapan pagar ke sembilan pagar, jadi sebelum acara akhir dimulakan saya panaskan badan lagi dan cuba pagar, syukur berjaya dengan masa 13.10 saat (s) untuk emas," katanya menambah 80m lari berpagar merupakan acara kegemarannya dan catatan masa peribadi terbaiknya ialah 11.98s.

Artikel Berkaitan:

Dia yang turut meraih pingat perak 200m lari berpagar perempuan bawah 14 tahun dalam kejohanan sama akan kembali menjalani latihan sebagai persiapan menyertai Little Athletics Championships yang dijadual berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Julai ini.

Nurelfira Umaira berkata, gurunya Karim Batjo merupakan pencetus kepada minatnya untuk menyertai acara sukan lari berpagar ketika di Tahun Empat.

"Sasaran saya untuk mewakili Malaysia pada kejohanan lebih besar seperti Sukan SEA," katanya yang turut menjadikan pelari Malaysia di Sukan SEA lepas, Farah Syakira Azifsafarin, yang berusia 15 tahun, sebagai sumber inspirasi.

Sementara itu, Karim berkata, meskipun fizikal Nurelfira Umaira kecil, namun dia seorang yang berani dan tenang selain mudah menyesuaikan diri dengan perubahan, buktinya ketika mengetahui jumlah halangan pagar bagi acara lari berpagar 80m di Australia berbeza dengan Malaysia.

"Setengah jam sebelum acara saringan bermula kami terpaksa ubah strategi untuk dia berlari. Alhamdulillah dia jenis yang tenang, dia dapat ikut rentak macam mana untuk lari laju dengan sembilan pagar, saya juga cakap dengan dia kita sudah sampai sini (Australia) mesti bawa balik pingat," katanya.

Beliau berkata, Nurelfira Umaira akan meneruskan latihan di bawah kendaliannya bersama Ketua Jurulatih Dzulfikar Awang Anak dan menyasarkan atlet itu menyertai Sukan Malaysia dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi seterusnya ke peringkat kejohanan lebih tinggi.

"Sebelum ini Fira (Nurelfira Umaira) memecahkan rekod larian 80 meter lari berpagar Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah di Keningau dengan catatan 12.41 saat, begitu juga mendapat rekod terbaik pada Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bagi acara sama," katanya yang berharap atlet cilik itu sentiasa fokus dan berkorban untuk kejayaan lebih besar.

Sementara itu, Karim berkata, terdapat banyak pelapis sukan olahraga yang dikenal pasti di Sekolah Kebangsaan Pasir Putih, namun kekangan peralatan sukan menyukarkan sesi latihan yang lebih berkesan.

"Kami kekurangan peralatan kerana anak-anak berlatih setiap hari terlalu ramai hingga 60 orang, alat yang kami guna hanya satu jadi penggiliran penggunaan barang itu sangat terhad," katanya.

Menurut Karim beliau akan menyerahkan senarai 22 peralatan sukan yang amat diperlukan kepada pihak sekolah dan berharap ada pihak sudi tampil menderma alat berkenaan untuk membentuk atlet muda berpotensi di Tawau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!