Imigresen laksana 2,528 operasi, tahan 14,361 PATI

Antara PATI yang ditahan JIM menerusi pelbagai siri operasi di seluruh negara.
Antara PATI yang ditahan JIM menerusi pelbagai siri operasi di seluruh negara.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen (JIM) telah menjalankan 2,528 operasi bermula 1 Januari hingga 23 Februari lepas dengan penahanan 14,361 pendatang tanpa izin, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh.

Beliau berkata, bagi tempoh sama, 139 majikan ditahan akibat pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 merangkumi kesalahan menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin.

"Walaupun kita (JIM) akan melaksanakan Program Repatriasi Migran (PRM) bermula Jumaat (1 Mac), JIM tetap melakukan operasi membanteras warga asing yang tiada dokumen sah.

"Perlu diingatkan sasaran JIM bukan sahaja pendatang tanpa izin, malah juga majikan. Ada sesetengah majikan yang mahu melangkaui proses pengambilan pekerja warga asing kerana tidak mahu membayar levi.

"Itu salah sebab kita ada undang-undang yang perlu dipatuhi,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas.

PRM yang akan dilaksanakan dari 1 Mac hingga 31 Disember depan merupakan program yang membolehkan pendatang tanpa izin pulang ke negara asal secara sukarela dan memenuhi syarat yang ditetapkan JIM.

Ia termasuk mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tiket penerbangan pulang.

Pada tahun ini, beliau berkata, JIM akan memberi tumpuan penuh kepada 220 lokasi ‘hotspot’ seluruh Malaysia yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing dan seterusnya menjalankan operasi bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain.

Antara langkah jabatan itu dalam membendung kebanjiran warga asing termasuk membuat naziran terhadap premis yang menggajikan pekerja asing, kawasan pasar borong dan institusi pendidikan yang mengambil pelajar antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, JIM juga memperketatkan kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk ke negara manakala pelawat asing yang masuk ke Malaysia turut diwajibkan mempunyai tiket pulang ke negara asal.

Mengenai data pekerja asing aktif di Malaysia hingga 15 Feb, Ruslin berkata terdapat seramai 2,123,049 pekerja asing di Malaysia dengan angka tertinggi dari Bangladesh seramai 786,795 orang, diikuti Indonesia (496,083), Nepal (367,498), Myanmar (163,324) dan India (119,706).

Selain negara berkenaan, Malaysia turut membenarkan kemasukan pekerja asing dari negara lain antaranya Kemboja, Vietnam, Pakistan dan Turkmenistan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!