PLKN dilaksana semula kerana semangat patriotik makin terhakis
KUALA LUMPUR - Semangat patriotik dan cintakan negara yang kurang dalam kalangan belia menjadi asas utama kerajaan memutuskan untuk melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan (JPKK) Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, secara umum dapat dilihat semangat patriotik dan rasa cintakan negara semakin terhakis dalam diri kalangan anak muda.
“Sebab itu dalam konteks PLKN, terdapat tiga tunjang menjadi matlamat utama yang kita inginkan iaitu pertama, semangat cintakan negara, kedua, perpaduan nasional dan ketiga, kesukarelawan.
“Ia termasuk pembinaan karakter kepimpinan dalam kalangan anak muda, selain memastikan mereka mempunyai kemampuan dan kapasiti untuk memainkan peranan dalam urusan kenegaraan,” katanya pada sidang akhbar pembentangan tinjauan umum dan laporan penuh kajian mengenai PLKN oleh badan bukan kerajaan (NGO) Architects of Diversity (AOD) di sini, pada Rabu.
Hasil tinjauan dan laporan dibentangkan oleh Pengarah Eksekutif AOD, Jason Wee dan Pengurus Advokasi AOD, Amin Mubarak.
Turut hadir, bekas Timbalan Komandan Latihan PLKN, Mejar (B), Ismail Mohd Hassan.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, berdasarkan tinjauan umum oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) mendapati masih ada rasa patriotisme dalam kalangan anak muda, namun ia masih rendah.
“Daripada segi kapasiti, kemampuan untuk menaikkan atau meningkatkan patriotisme serta cintakan negara itu (dalam diri anak muda), saya rasa ia masih kurang.
“Itu antara sebab utama kita perlu wujudkan PLKN 3.0 ini, ia adalah kerana isu tersebut (rasa patriotisme dan semangat cintakan negara),” katanya.
Mengenai relevan PLKN dilaksanakan semula dengan berpaksikan tiga tonggak utama, Syed Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui banyak pihak.
"Walaupun ia mungkin ada sedikit perbezaan matlamat dengan program hampir sama yang dijalankan di negara-negara lain," katanya.
Mengulas mengenai pembentangan tinjauan dan laporan kajian PLKN 3.0 oleh AOD, beliau berkata, semua hasil tinjauan dan laporan yang dibentangkan itu hampir sama dengan data dan maklumat diperolehi JPKK.
“Tidak lari jauh daripada yang dibincangkan dalam JPKK serta taklimat yang diberikan oleh Mindef, ia hampir 99 peratus sama seperti yang kita kumpulkan dalam penyata berkaitan PLKN tahun lalu.
“JPKK ada mengeluarkan penyata itu pada November 2023, ia memberikan gambaran berkenaan taklimat yang diberikan oleh pihak Mindef serta ulasan dan syor dikemukakan JPKK kepada pihak Mindef dan kerajaan,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!