Tugas berat menanti Ahmad Said
MARANG - Pemuda Marang berharap Pengerusi Umno Terengganu yang baharu Datuk Seri Ahmad Said dapat mengemudi serta memperkemaskan lagi gerak kerja Umno di negeri itu.
Naib ketuanya, Mohd Zafpri Daud berkata, hala tuju parti perlu segera diperkemaskan agar ia lebih fokus dan tersusun kerana ia amat penting sebagai sandaran kepada semua peringkat ahli parti.
Dalam masa sama, beliau berharap semua sayap parti dapat memberikan kerjasama utuh kepada pengerusi baharu dalam memastikan Umno Terengganu dapat pulih dan bangkit kembali.
"Ini penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam pembangunan agama, bangsa dan tanah air.
“Senario berlaku ketika ini wajar dijadikan pengajaran buat semua ahli Umno yang mana gerak kerja tersusun itu penting demi kelangsungan parti ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Ahmad juga Ketua Umno Bahagian Kemaman, kembali memegang jawatan Pengerusi Umno Terengganu bagi tempoh 2018 sehingga 2021, menggantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, bermula semalam.
Beliau menyandang jawatan sama selama lebih lima tahun ketika menjadi Menteri Besar pada 2008 hingga 2014 dan pelantikan semula dilihat sebagai persediaan merampas kembali Terengganu.
Sementara itu, Mohd Zafpri berkata, Pemuda Umno Marang juga berterima kasih kepada Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mengundurkan diri dan mengucapkan tahniah kepada Ahmad.
Beliau juga yakin dengan masa depan Umno Terengganu kerana semangat perjuangan sayap parti tidak pernah berubah demi merampas kembali kerajaan pusat dan negeri pada PRU akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!