Denda FIFA: FAM timbang kemuka rayuan

Insiden kekecohan penonton sewaktu aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 November lalu. - FOTO ZAHID IZZANI
Insiden kekecohan penonton sewaktu aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 November lalu. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan akan membuat rayuan berhubung denda sebanyak 50,000 Swiss Francs (RM209,952) yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan insiden kekecohan penonton sewaktu aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 November lalu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, badan induk itu telah menerima sepucuk surat berhubung denda berkenaan pada minggu lepas, dan sudah menghantar surat maklum balas kepada FIFA untuk memperincikan jenis kesalahan tersebut.

“Kita akan membayar denda berkenaan, namun kita meminta FIFA untuk memperincikan kesalahan tersebut dengan lebih lanjut. Sekiranya kita merasakan ada keperluan untuk merayu, kita akan membuat rayuan, namun kita akan menunggu perincian jenis kesalahan berkenaan terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Perlawanan Malaysia dan Indonesia pada 19 November lalu dicemari dengan insiden berbalas balingan suar dan botol air di antara kedua-dua penyokong, dan 41 penyokong termasuk 14 penyokong Indonesia dilaporkan ditahan pihak polis selepas perlawanan berkenaan tamat. Malaysia menang 2-0 pada perlawanan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Balingan suar cemari aksi Harimau Malaya, Garuda

Sebuah akhbar tempatan baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata bahawa FIFA memutuskan untuk mendenda FAM sebanyak 50,000 Swiss Franc selepas didapati bersalah melanggar artikel 16 dan 26 Kod Tatatertib FIFA sebanyak tiga kali.

FIFA sebelum ini dilaporkan telah memberi amaran kepada FAM susulan insiden kekecohan penonton sewaktu aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Sept lalu.

Badan induk bola sepak dunia itu turut memberi amaran kepada FAM susulan kegagalan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menghadiri sidang media pasca perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Vietnam di Hanoi pada 10 Oktober lalu yang merupakan kesalahan di bawah artikel 26 Kod Tatatertib FIFA (kegagalan mematuhi kewajipan media).

Artikel Berkaitan:

Malaysia tewas masing-masing dengan keputusan 1-2 kepada UAE dan 0-1 kepada Vietnam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!