Lebih 200 keluarga di Kiulu berdepan masalah air yang kritikal

Joniston (kiri) bersama penduduk kampung ketika meninjau sumber air dari mata air bagi mengatasi masalah bekalan air di Kampung Kelawat, Kiulu.
Joniston (kiri) bersama penduduk kampung ketika meninjau sumber air dari mata air bagi mengatasi masalah bekalan air di Kampung Kelawat, Kiulu.
A
A
A

TUARAN - Lebih 200 keluarga menyatakan keresahan mereka kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berhubung masalah air yang kritikal dihadapi mereka sejak kebelakangan ini.

Ia ditambah pula dengan cuaca panas yang dihadapi di seluruh negara ketika ini sekali gus menyebabkan aktiviti harian penduduk di tujuh kampung di Kiulu terjejas.

Menurut Joniston dalam lawatan 'turun padang' kali ini, rata-rata penduduk kampung memberikan pandangan dan membincangkan langkah penyelesaian jangka masa pendek dan panjang yang perlu diambil.

"Saya memandang serius gangguan bekalan air yang berlarutan di beberapa kampung dan menyebabkan kebimbangan kepada penduduk di Kiulu ini.

"Saya telah mendengar cadangan mereka, antara penyelesaian sementara yang dikenal pasti ialah menyediakan tangki air untuk menyimpan stok air di setiap kampung yang terjejas manakala untuk jangka masa panjang pula ialah dengan menggunakan pam air dari sumber air yang ada," katanya selepas melakukan lawatan di Kampung Kelawat di sini pada Rabu.

Antara kampung yang dikenal pasti terjejas ialah Kampung Bungoliu, Kampunh Tomis Baru, Kampung Kelawat, Kampung Simpangan Lama, Kampung Balabakan, Kampung Tomis Mangi Pangi dan Kampung Bongol.

Beliau dalam pada itu memaklumkan bahawa Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) telahpun menghantar laporan mengenai keadaan tersebut kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Tuaran melalui Pejabat Daerah Kecil Kiulu.

Bagaimapaun, Joniston turut meminta semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang terlibat untuk memberikan laporan mengenai cadangan penyelesaian sementara bagi mengatasi masalah air di kampung masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan segera diperlukan untuk menangani masalah air yang semakin meruncing ini. Langkah yang diambil diharapkan dapat memberikan bantuan yang diperlukan kepada penduduk kampung yang terjejas.

"Kami akan terus memantau perkembangan mengenai usaha-usaha penyelesaian masalah air ini dan memberikan maklumat terkini kepada penduduk kampung sejurusnya," katanya.