'Jangan terpedaya taktik tipu pelaburan tunjuk wang, testimoni'
KUALA LUMPUR - Kongsi testimoni, gambar timbunan wang selain guna personaliti tertentu antara taktik penipuan pelaburan syariah yang dikesan pihak polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, modus operandi itu kononnya hasil pulangan keuntungan pelaburan yang diterima.
Menurutnya, sindiket penipuan itu juga meyakinkan mangsa dengan mengatakan kononnya pelaburan yang dibuat adalah patuh syariah.
"Masyarakat perlu tahu, jangan mudah percaya gambar duit yang mana-mana syarikat atau individu tunjuk di dalam media sosial kononnya hasil pelaburan. Itu hanya taktik sindiket mengaburi mangsa.
"Bukan setakat itu, ada yang 'claim' pelaburan yang ditawarkan pula patuh syariah walhal tiada mana-mana agensi berkuasa yang memberi pengesahan. Jika ada pun, kita sebagai pelabur perlu tahu apa asas utama pelaburan itu patuh syariah dan benar," katanya pada Rabu.
Tambah Ramli, JSJK sedia menjalankan siasatan kepada sesiapa sahaja termasuk mereka yang menggunakan individu tertentu bagi menawarkan pelaburan patuh syariah sehingga menyebabkan ramai mangsa kerugian jutaan ringgit
Tegasnya, siasatan boleh dijalankan berdasarkan apa sahaja laporan yang diterima pihaknya.
"Kita (polis) sangat mengalakkan mereka yang diperdaya oleh mana-mana syarikat atau individu tampil membuat laporan polis supaya perkara itu boleh disiasat dengan lebih lanjut dan tindakan dapat diambil," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan memanggil seorang individu yang namanya dimasukkan dalam senarai amaran pelaburan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memberi penjelasan.
"Kita harap individu ini tampil, tidak perlu bimbang sekiranya apa yang dilakukannya (pelaburan) itu sah di sisi undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!