Kerajaan Perpaduan terbuka kepada rekomendasi, saranan Bersih - PM
KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan terbuka kepada sebarang rekomendasi atau saranan daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) khususnya dalam penambahbaikan proses pilihan raya dan reformasi institusi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam catatan di Facebook pada Rabu berkata, beberapa saranan yang diberikan Bersih adalah dalam perhatian kerajaan.
"Terdapat antara cadangan dalam memorandum tersebut telah pun berada dalam pertimbangan dan tindakan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Anwar pada Rabu menerima memorandum daripada pimpinan Bersih yang diketuai Mohammad Faisal Abdul Aziz di Putrajaya.
Perdana Menteri berkata, dialog serta ruang bertukar pandangan adalah penting bagi memahami aspirasi masyarakat sivil dan cabaran dihadapi kerajaan khususnya dalam isu yang dikemukakan dalam memorandum berkenaan.
"Pendekatan yang lebih inklusif dalam mendengar sendiri pandangan masyarakat sivil seperti Bersih diharap meningkatkan lagi sinergi masyarakat sivil dengan kerajaan dalam proses demokrasi negara,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata, dalam pertemuannya dengan Bersih, beliau menekankan kepentingan mengukuhkan pendidikan politik dan meningkatkan literasi politik dalam kalangan masyarakat ke arah politik Malaysia yang lebih baik. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!