Reformasi MPM perlu untuk licinkan pengendalian kes - Steven

Steven pada sidang media selepas merasmikan Kolokium Reformasi Perundangan dan Pengurusan Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) pada Rabu. Foto Bernama
Steven pada sidang media selepas merasmikan Kolokium Reformasi Perundangan dan Pengurusan Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, reformasi terhadap Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) meliputi aspek operasi, proses, dasar undang-undang dan infrastruktur perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi keberkesanan mahkamah itu.

Steven berkata, ini susulan peningkatan aduan kes pembuangan kerja secara tidak adil dan pertikaian perjanjian perusahaan yang diterima mahkamah itu setiap tahun.

Katanya, sepanjang tahun lepas sahaja, MPM menerima 1,822 kes seumpama itu berbanding 1,657 kes pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Kolokium Reformasi Perundangan dan Pengurusan MPM, di sini pada Rabu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.

Steven juga berkata, beberapa penambahbaikan terhadap MPM telah dilakukan termasuk menambah tempoh pelantikan pengerusi MPM kepada empat tahun berbanding dua tahun sebelum ini untuk melancarkan proses perjalanan mahkamah itu.

Katanya, pada tahun ini beberapa pembaharuan juga akan dilaksanakan MPM, antaranya memendekkan tempoh masa proses pengadilan, mengurangkan kes-kes tertunggak, menambah baik fasiliti dan kemudahan di mahkamah.

Mengenai kolokium yang berlangsung dua hari berkenaan, Steven berkata, program yang julung kali diadakan itu adalah sebagai wadah mendapatkan saranan dan pandangan daripada pakar undang-undang, wakil majikan, pekerja dan majlis peguam untuk pemerkasaan MPM.

Artikel Berkaitan:

Ditubuhkan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967, MPM merupakan sebuah tribunal serta badan tunggal untuk memutuskan kes-kes melibatkan pembuangan kerja, perjanjian kolektif dan pertikaian perusahaan di antara majikan, pekerja dan kesatuan-kesatuan sekerja yang berkaitan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!