Permohonan UPUOnline dibuka bermula esok
KUALA LUMPUR - Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2024/2025 ke program asasi, sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline akan dibuka bermula esok hingga 29 Mac ini bagi permohonan Fasa Pertama dan dari 29 April hingga 9 Jun depan bagi Fasa Kedua.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan permohonan dibuka bagi kemasukan ke 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 105 Kolej Komuniti dan empat Institusi Kemahiran Tinggi Awam (ILKA).
Menurut KPT, permohonan terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf untuk semua program pengajian bagi permohonan Fasa Pertama manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan atau ujian, dibuka bagi permohonan Fasa Kedua.
"Semua calon yang berkelayakan dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
"Sebanyak 503 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,111 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan STPM/Setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA seluruh negara,” katanya.
Dalam kenyataan sama, KPT berkata, pembelian Nombor Pin UPUOnline boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di 350 Kaunter Cawangan BSN, 700 mesin pengeluaran wang automatik (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN.
"BSN akan mengeluarkan Nombor Pin berserta salinan resit pembayaran. Pemohon juga diminta untuk memastikan slip pembayaran disimpan untuk rujukan sebagai bukti sah pembelian,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!