Ubah suai bas lama jadi pusat pengajian al-Quran

Bas lama yang diubah suai sekumpulan anak muda yang dikenali sebagai ‘Rembau Awesome’ untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran di Taman Seri Rembau. (Gambar kecil: Muhammad Alif)
Bas lama yang diubah suai sekumpulan anak muda yang dikenali sebagai ‘Rembau Awesome’ untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran di Taman Seri Rembau. (Gambar kecil: Muhammad Alif)
A
A
A

REMBAU - Demi memastikan pusat pengajian al-Quran percuma di dalam bas lama yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu di Taman Seri Rembau, di sini terus kekal beroperasi, ada yang sanggup menjual harta benda.

Itulah kesungguhan dan pengorbanan sekumpulan 13 anak muda di daerah ini demi melahirkan komuniti celik al-Quran.

Malah mereka juga pernah dianggap ‘gila’ apabila tampil dengan idea kreatif membuka kelas mengaji di dalam bas lama yang diubah suai ketika masing- masing baru berusia awal 20-an.

Keadaan dalaman pusat pengajian al-Quran di Taman Seri Rembau.
Keadaan dalaman pusat pengajian al-Quran di Taman Seri Rembau.

Namun, usaha kumpulan yang bergelar ‘Rembau Awesome’ itu kini mendapat sambutan apabila menerima pelajar seramai 167 orang termasuk 35 dewasa.

Menurut ketua kumpulan itu, Muhammad Allif Ibrahim, 33, setiap bulan kira-kira RM6,000 kos operasi yang perlu ditanggung termasuk kos membayar elaun kepada enam tenaga pengajar.

“Saya akui bukan mudah nak bangunkan pusat pengajian al-Quran ini kerana kekangan paling utama ialah kewangan dan kami pula hanya berpendapatan sederhana.

“Tapi alhamdulillah, hasil sumbangan orang ramai, bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri serta bayaran yuran yang minimum daripada sebahagian pelajar yang berkemampuan, kami mampu bertahan sehingga kini,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Pelajar pusat pengajian al-Quran di Taman Seri Rembau tekun membaca al-Quran di dalam bas lama yang diubah suai.
Pelajar pusat pengajian al-Quran di Taman Seri Rembau tekun membaca al-Quran di dalam bas lama yang diubah suai.

Bagaimanapun beliau mengakui ia tidak mencukupi, namun itu bukan alasan untuk mereka berhenti daripada terus berbakti.

Sehubungan itu, mereka amat mengharapkan sumbangan daripada orang ramai bagi meneruskan kelangsungan operasi pusat pengajian al-Quran berkenaan.

Muhammad Allif (kanan) mengajar al-Quran kepada salah seorang pelajar di pusat pengajian al-Quran milik Rembau Awesome.
Muhammad Allif (kanan) mengajar al-Quran kepada salah seorang pelajar di pusat pengajian al-Quran milik Rembau Awesome.

“Ini kerana sebahagian pelajar adalah anak asnaf, anak yatim dan miskin. Jadi, kami akan cari ikhtiar walau terpaksa bergolok bergadai dengan menjual harta yang ada,” ujarnya.

Muhammad Allif yang juga pengurus pusat tersebut memberitahu, mereka bermula dengan membeli sebuah bas lama pada tahun 2017 dengan harga RM5,000.

“Bermula dengan sebuah bas, kini kami miliki empat bas. Namun hanya dua digunakan sebagai kelas manakala yang lain dijadikan pejabat operasi.

“Kita ada kelas setiap Isnin hingga Khamis dan ada tiga sesi pengajian iaitu pada jam 5 petang hingga 6.30 petang dan 8 malam hingga 9.30 malam untuk kanak-kanak serta remaja manakala dewasa pada jam 9 malam hingga 11 malam,” jelasnya.

Selain itu katanya, apa yang menggembirakan mereka apabila ramai yang pada awalnya langsung tidak mengenal huruf, kini mampu membaca al-Quran dengan lancar.