Bukti jantina bukan penghalang, Zarina tawan lebih 50 bukit, gunung
SEPANG - Seorang pendaki wanita berpegang kepada prinsip ‘jantina dan umur bukan penghalang’ dalam melakukan aktiviti sukan lasak.
Menurut Zarina Abd Rahman, 50, dia sama sekali tidak pernah meletakkan satu tanggapan bahawa aktiviti ekstrem hanya layak dilakukan oleh kaum Adam.
“Tak pernah terfikir sama sekali. Saya sering mempersoalkan kenapa lelaki boleh buat tetapi tidak bagi wanita?
“Saya tidak mahu hanya disebabkan tanggapan orang ramai itu mematikan semangat untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Disebabkan prinsip itu, saya berjaya mendaki lebih daripada 50 bukit termasuklah gunung di Malaysia dan Indonesia,” katanya yang juga menjadikan bakeri aktiviti membuat kek sebagai hobi.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perlepasan Bendera Program Pendakian Amal Summit Attack Resources (SAR) Ahsana ke Island Peak dan Everest Base Camp bersama pelakon, Azhan Rani di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
Ditanya mengenai perjalanan menempa nama sebagai pendaki wanita, Zarina berkata, permulaan kepada hobi sukan lasak itu apabila dia melibatkan diri dengan aktiviti berlari dalam hutan pada 2008.
Bagaimanapun, dia mula menyedari bahawa sukan yang dilakukannya itu ada kekurangan iaitu tidak dapat menikmati pemandangan sepanjang laluan di dalam hutan.
“Apabila terlalu fokus berlari untuk sampai ke destinasi, saya terlupa untuk meneroka keindahan alam, yang mana setiap hutan mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Pada 2015, saya mula menceburi dunia pendakian sehinggalah ke hari ini. Kini, saya lebih menghargai momen-momen berada di dalam hutan kerana ia benar-benar mengujakan!” ujarnya.
Pada masa sama, dia turut berkongsi cabaran sepanjang melakukan aktiviti sukan lasak selama 17 tahun.
Zarina yang juga seorang petugas di sebuah institusi perbankan berkata, tidak dapat dinafikan bahawa dia menerima pelbagai kata-kata yang boleh mematahkan semangat.
“Ada yang kata, aktiviti ini tak sesuai untuk dilakukan. Lebih-lebih lagi apabila usia dah mencecah separuh abad, ramai yang suruh duduk rumah sahaja.
“Pada pendapat saya, kalau duduk di rumah, tanpa melakukan sebarang aktiviti, ia akan menyebabkan tubuh lebih cepat menua.
“Kalau buat aktiviti macam sekarang ini (mendaki), saya dapat latih stamina, mental dan fizikal untuk kekal kuat,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!