Pembangkang dakwa Tahun Melawat Perak hambar
IPOH - Pembangkang Perak mendakwa promosi Tahun Melawat Perak 2024 hambar apabila banyak kawasan-kawasan menarik di negeri ini tidak diketengahkan.
Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berkata, kawasan pelancongan luar bandar tidak dipromosikan untuk menarik perhatian pelancong.
"Kita nampak Tahun Melawat Perak ini hambar. Sepatutnya kita promosikan produk-produk pelancongan. Sekarang ini di kampung-kampung seperti di Selama yang menjadi tumpuan pelancong senyap sunyi.
"Pernah juga kita bangkitkan untuk menambah tarikan pelancongan di Gunung Semanggol paragliding tetapi tidak disebutkan (di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri). Ini hakikatnya," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Razman turut membidas Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee yang disifatkan membuat kenyataan mengelirukan.
Menurutnya, peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk semua kawasan DUN digunakan bagi melaksanakan program pembangunan di kawasan dan bukan untuk pusat khidmat DUN.
"Peruntukan itu bukan terus ke pusat khidmat, bukan peruntukan itu datang selonggok pada kita untuk pusat khidmat.
"Ia masih lagi digunakan di peringkat kawasan. Dia (Sze Yee) tak boleh mengelirukan. Seorang Exco tak boleh bawa ucapan politik dalam penggulungan," katanya.
Semalam, dalam ucapan penggulungan, Sze Yee menggesa pembangkang mencari peruntukan bagi digunakan di kawasan DUN masing-masing bukan untuk pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!