Sentuhan seni 'tie dye' Cikgu Atikah

Pesara guru, Noor Atikah Abdul Ghani menunjukkan kain pasang yang dihasilkan menggunakan kaedah 'tie dye' (ikat dan celup). Foto Bernama
Pesara guru, Noor Atikah Abdul Ghani menunjukkan kain pasang yang dihasilkan menggunakan kaedah 'tie dye' (ikat dan celup). Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Siapa menyangka pada usia lebih 50 tahun, pemegang Diploma Seni dan Reka Bentuk Institut Teknologi Mara (kini UiTM) dapat mengaplikasikan semula ilmu dan kemahiran dipelajarinya berpuluh tahun lepas untuk menjana pendapatan selepas bersara.

Noor Atikah yang memilih bersara awal sebagai pendidik pada 2022 berikutan masalah kesihatan, mula aktif menghasilkan pelbagai produk menggunakan teknik tie dye atau ikat dan celup pada fabrik sejak 2023.

Menurut pesara guru berusia 55 tahun itu, teknik ikat dan celup merupakan seni purba menghias atau menghasilkan corak pada fabrik.

"Ia adalah proses penentangan iaitu kawasan fabrik diikat menggunakan tali, tali pintal atau gelang getah. Kain itu kemudiannya dicelup dalam pewarna untuk mendedahkan corak rumit yang dicipta.

"Kawasan yang diikat akan menyerap pewarna manakala kawasan terikat menentang pewarna dan kekal putih," kata bekas guru pendidikan seni itu kepada Bernama baru-baru ini.

Noor Atikah Abdul Ghani menunjukkan kain pasang yang dihasilkan menggunakan kaedah 'tie dye' (ikat dan celup). Foto Bernama
Noor Atikah Abdul Ghani menunjukkan kain pasang yang dihasilkan menggunakan kaedah 'tie dye' (ikat dan celup). Foto Bernama

Noor Atikah berkata, untuk menghasilkan produk ikat dan celup itu, beliau menggunakan tiga teknik utama iaitu jahit, ikat dan lipat bagi menghalang warna daripada diserap dan menimbulkan corak pada fabrik.

"Semua corak tie dye yang dihasilkan tidak sama antara satu sama lain kerana ia berbeza mengikut kreativiti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai pengusaha ikat dan celup yang aktif di Kelantan, Noor Atikah berkata, permintaan terhadap hasil tangannya itu semakin mendapat sambutan kerana corak yang dihasilkan melalu itu berbeza berbanding batik lukis.

Katanya, fabrik ikat dan celup itu juga semakin menjadi pilihan untuk menghasilkan kemeja batik bagi menggantikan batik lukis.

"Ketika ini, saya lebih banyak menghasilkan kain pasang yang dijual pada harga sekitar RM100 hingga RM150.

"Namun sekiranya pelanggan mahu produk siap lain seperti beg tote, baju kaftan dan kemeja, saya juga boleh buat,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!