Apa agaknya masa depan saya?
KUALA LUMPUR - Pada setiap hari persekolahan, menjadi rutin Tiara Vyahori, 14, untuk bangun daripada tidur sekitar pukul 6.30 pagi dan ketika ini, dia tinggal bersama adik perempuan dan ayah mereka di sebuah ruang kecil, terletak di belakang sebuah rumah kedai di Batu Tiga, Klang.
Tiara dan adiknya Reshma, 13, gembira dapat pergi ke sekolah dan keduanya dilaporkan menunjukkan prestasi baik meskipun agak lewat beberapa tahun memasuki sekolah, selepas mencapai usia persekolahan.
Akhir-akhir ini Tiara berkata, dia asyik memikirkan masa depannya.
"Apa agaknya masa depan saya? Secara jujur, apa yang saya hendak?
Saya idamkan gaya hidup mewah jadi saya perlu rajin belajar untuk menikmati hidup yang selesa, ” kongsinya dengan Bernama, sewaktu kami duduk di sebuah gerai kecil pada suatu tengah hari yang panas.
Tiara bercita-cita menjadi akauntan apabila besar sementara Reshma mahu menjadi peguam.
Dia kelihatan begitu bertekad namun tekad sahaja mungkin tidak mencukupi.
Tiara dan Reshma tergolong dalam kumpulan anak-anak tanpa kad pengenalan (stateless children), di sebalik dilahirkan di Malaysia dan ayahnya warganegara Malaysia kerana mereka dilahirkan di luar nikah.
Mereka dianggap bukan warganegara dan tidak boleh mengakses kebebasan serta perkhidmatan yang dinikmati rakyat Malaysia seperti pendidikan, pergerakan, perkahwinan dan penggajian.
Secara ironinya, ini bermakna Malaysia tidak boleh bergantung kepada kedua beradik ini sebagai penyumbang kepada ekonomi, meskipun kadar kesuburan negara - yang diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi - berterusan merosot.
Dan sekiranya beberapa cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutun mengenai perkara berkait kewarganegaraan Malaysia - dianggap regresif oleh setengah pertubuhan bukan kerajaan bagi menghapuskan perlindungan untuk anak-anak yang dibuang dan kemudian dipelihara oleh pihak lain serta anak-anak yang terbiar, dijangka menjadikan kedudukan kanak-kanak tanpa kad pengenalan ini semakin teruk - diluluskan, pakar berkata, Malaysia mungkin kerugian daripada segi manfaat kepada ekonomi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, baru-baru ini, cadangan pindaan berkenaan akan dibentangkan kepada Kabinet Persekutuan pada 8 Mac ini.
Apa makna anak-anak tanpa kad pengenalan
Malaysia adalah negara Kumpulan Berpendapatan Sederhana Atasan dan besar kemungkinan beralih kepada taraf negara berpendapatan lebih tinggi.
Ia juga negara menua, dengan tujuh peratus penduduknya berusia 65 tahun dan lebih.
Malaysia dijangka mendapai status negara tua menjelang tahun 2044 sebaik sahaja 14 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas.
Kadar kesuburan yang merosot menjadi kebimbangan apabila tidak cukup orang untuk menggantikan generasi tua.
Menurut pakar ekonomi, Prof Yeah Kim Leng, meskipun pada masa ini penduduk dalam kategori usia bekerja masih besar untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi, namun masa semakin suntuk.
"Penduduk usia bekerja akan mencapai tahap yang mana kita mungkin mempunyai 10 hingga 15 tahun sebelum kita menyaksikan populasi usia bekerja ini merosot, ” katanya.
Menurut Jabatan Statistik Malaysia, kadar kesuburan di Malaysia adalah 1.6 anak untuk seorang wanita berusia 15 hingga 49 tahun pada tahun 2023, menurun dari 2.1 pada tahun 2010.
Pakar ekonomi meletakkan 2.1 kelahiran hidup sebagai kadar yang diperlukan bagi mengekalkan kumpulan tenaga buruh di negara perindustrian dan 2.3 di negara sedang membangun.
Pada masa yang sama, penduduk Malaysia kian meningkat, kepada 34.3 juta pada tahun 2023 dari 33.7 pada tahun 2022, meskipun peratus warganegara berkurangan kepada 91.1 peratus dari 92.4 peratus.
Bukan warganegara berjumlah 2.5 juta pada tahun 2022 dan tiga juta pada tahun 2023.
Di Malaysia, tidak ada perbezaan antara pekerja asing, pemastautin tetap, pegawai dagang, pelarian, pendatang tidak berdokumen dan orang tanpa kerakyatan.
Orang tanpa kerakyatan bermakna seseorang itu bukan warganegara mana-mana negara.
Orang tanpa kerakyatan ini berbeza daripada pendatang atau pelarian. Sementara sesetengah pelarian mungkin orang tanpa kerakyatan seperti Rohingya, bukan semua orang tanpa kerakyatan adalah pelarian.
Mereka juga berbeza daripada pekerja asing atau pendatang tanpa dokumen yang datang dari negara lain. Orang tanpa kerakyatan tidak boleh meninggalkan negara kerana mereka tidak mempunyai dokumen untuk melakukan perjalanan.
Di Malaysia, orang tanpa kerakyatan sebahagian besarnya merujuk kepada mereka yang dilahir dan dibesarkan di Malaysia, dan lazimnya ibu atau bapa adalah warganegara Malaysia, tetapi taraf kewarganegaraan mereka tidak dapat ditentukan, atas pelbagai faktor.
Alasan yang biasa untuk orang tanpa kerakyatan termasuk mereka yang dilahirkan sebelum merdeka dan tidak berdaftar, pendaftaran kelahiran yang terlalu lewat, diabaikan semasa lahir tanpa maklumat mencukupi untuk mengesan ibu bapa atau mewarisi taraf orang tanpa kerakyatan daripada ibu mereka.
Orang tanpa kerakyatan tidak boleh berkahwin secara sah dan sebarang anak yang lahir dianggap anak luar nikah.
Memandangkan taraf kewarganegaraan diwarisi daripada ibu dalam kes seumpama itu, anak wanita tanpa kerakyatan akan juga menjadi orang tanpa kerakyatan.
Dalam sesetengah senario, umpamanya anak-anak yang dibuang dan kemudian dipelihara oleh pihak lain serta anak-anak yang terbiar dan mereka yang di wilayah Malaysia sebelum merdeka, mereka berhak mendapat kewarganegaraan mengikut operasi undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Tidak wujud bilangan tepat orang tanpa kerakyatan di Malaysia, meskipun anggarannya adalah dari 12,000 hingga 16,000 di Semenanjung Malaysia. Tiada angka rasmi juga untuk orang tanpa kerakyatan di Sabah, meskipun menurut laporan bilangannya seramai 300,000 berdasarkan jumlah bukan warganegara di negeri itu.
Penyokong hak kewarganegaraan Maalini Ramalo dari Persatuan Jaringan Pembangunan Sumber Manusia Luar Bandar (DHRRA) Malaysia memberitahu Bernama, angka 300,000 orang tanpa kerakyatan di Sabah mungkin terlebih anggaran kerana tidak ada proses aktif untuk mengenal pasti sama ada anda orang asing tanpa dokumen, pendatang tanpa dokumen atau pendatang generasi kedua berbanding sekiranya anda benar-benar orang tanpa kerakyatan.
"Hakikatnya, kami tidak dapat menganggarkan bilangan sebenar kerana kerajaan tidak merekod bilangan orang tanpa kerakyatan,” tambahnya.
Menangani kemerosotan tenaga pekerja
Beberapa penyelesaian kepada penurunan kadar kelahiran dan kekurangan pekerja adalah meningkatkan bilangan pekerja asing di negara ini di samping menaikkan usia persaraan, yang mempunyai masalahnya yang tersendiri.
Namun daripada mencari pekerja di tempat lain, pakar berkata, dengan menetap atau membenarkan orang tanpa kerakyatan mendapat akses kepada pendidikan dan penggajian, ia akan membantu mereka menyumbang secara bermakna kepada ekonomi Malaysia.
Cadangan pindaan perlembagaan termasuk menghapuskan hak kewarganegaraan daripada anak-anak yang dibuang dan kemudian dipelihara oleh pihak lain serta anak-anak yang terbiar, dan sebaliknya memerlukan mereka memohon kepada kerajaan.
Para aktivis memberitahu Bernama bahawa kadar kelulusan untuk permohonan kewarganegaraan adalah amat rendah.
Sebagai contoh, setakat September 2023, hanya 19 orang menerima kewarganegaraan mereka daripada 9,539 permohonan pada tahun tersebut. Prosesnya juga didakwa tidak jelas.
Pakar menyatakan, mendapat kewarganegaraan menerusi pendaftaran mungkin menambah bilangan orang tanpa kerakyatan, dan ia juga membebankan kerajaan.
Orang tanpa kerakyatan tidak boleh mengakses pendidikan dan penggajian penuh, dengan demikian mengurangkan peluang mereka menjadi pekerja berkemahiran.
"Kehadiran ramai individu tanpa kerakyatan menimbulkan cabaran besar kepada tadbir urus dan menghalang penggunaan berkesan modal insan yang penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan,” kata Prof Madya Tey Nai Peng dari Jabatan Sains Keputusan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi di Universiti Malaya (UM).
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang menerbitkan kertas kerja pada tahun 2019 menganggarkan kos orang tanpa kerakyatan, berkata, "Terdapat kos ekonomi yang serius daripada segi kerugian produktiviti kepada negara dengan menafi dan melambatkan permohonan kewarganegaraan yang sah.”
Beliau berkata, orang tanpa kerakyatan lazimnya tidak mempunyai pekerjaan dan dibayar upah yang rendah.
Untuk itu, beliau mengandaikan orang tanpa kerakyatan mempunyai purata nilai pengeluaran untuk tahun 2018, iaitu RM81,039, apabila membuat pengiraannya.
"Dengan mendarabkan (anggaran) 150,000 orang tanpa kerakyatan pada separuh kadar produktiviti RM40,520, purata kerugian nilai produktiviti tahunan adalah kira-kira RM6 bilion setahun,” beliau memberitahu Bernama.
Menyelesaikan isu
Lonjakan jumlah penduduk, seperti kemasukan rakyat Malaysia yang baharu diberi taraf kewarganegaraan mungkin tidak dapat ditampung oleh infrastruktur dan sistem yang ada.
Nai Peng, yang juga penyelia Unit Pengajian Penduduk di UM sehingga tahun 2018 berkata, pertumbuhan penduduk yang pantas dan tidak dikawal akan menambah tekanan kepada sumber asli serta menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar di samping isu lain seperti kesesakan di kawasan metropolitan dan menambah tekanan kepada perkhidmatan awam.
"Tambahan, ia boleh memburukkan masalah seperti kadar pengangguran yang tinggi, kemiskinan dan ketidaksamaan pendapatan,” katanya.
Dengan demikian, adalah penting untuk kerajaan melibatkan masyarakat sivil dan mengkaji isu ini secara terperinci.
Nai Peng juga berkata, kerajaan perlu untuk menimbangkan kesan cadangan pindaan ke atas hak serta kebajikan penduduk yang berstatus ‘lemah’ dan implikasi sosio-ekonomi yang luas untuk negara.
Bagaimanapun, manfaat mengatasi risiko, selagi usaha dibuat untuk mewujudkan pasukan pekerja yang pelbagai, kreatif dan mahir.
Salah satu manfaat penting ialah mewujudkan lebih ramai pembayar cukai untuk membiayai perkhidmatan awam seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur, tambahnya.
Yeah bersetuju, dengan menyatakan, tidak boleh dibuat andaian bahawa orang tanpa kerakyatan secara automatiknya akan membebankan kerajaan.
"Akan ada yang berjaya dan mereka itu akan membuat sumbangan lebih kepada asas pendapatan negara,” katanya.
Beliau juga berkata, meskipun bilangan orang tanpa kerakyatan yang tulen di Malaysia adalah amat kecil, adalah wajar untuk kerajaan menyediakan sistem kuota kewarganegaraan untuk mereka.
Beliau menambah, kerajaan juga boleh memulakan dengan bilangan yang kecil dan secara beransur, menerima lebih ramai orang tanpa kerakyatan, bergantung kepada kemampuan serta keadaan ekonomi.
Ketika kerajaan sedang berkira-kira sama ada untuk meluluskan pindaan atau mengekalkan Perlembagaan Persekutuan seperti sedia ada atau membenarkan beberapa peruntukan diluluskan - seperti membenarkan ibu Malaysia memberikan kewarganegaraan kepada anak kelahiran asing - masa semakin pantas berlalu untuk Tiara, Reshma dan ayah mereka Punithan, 58.
Kedua beradik ini akan mencapai usia 18 tahun tidak lama lagi dan sekiranya pindaan itu diluluskan, maka berakhirlah peluang untuk mereka mendapatkan kewarganegaraan.
Tambah mendesak Punithan menghidap penyakit jantung dan akibat serangan jantung tahun lalu, dia terpaksa menjalani pembedahan pintasan.
"Saya bimbang dengan keadaan ayah saya, banyak yang terpaksa dilaluinya baru-baru ini, tambahan ayah semakin tua.
Mungkin ayah akan menjadi lebih sakit. Itu pun dia masih belum berhenti merokok,” kata Tiara.
Punithan mengangguk, "Saya perlu jaga kesihatan saya, jika saya meninggal dunia, siapa yang akan menjaga anak-anak saya?” - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!