PATI 'selamba' guna bubu naga tangkap ikan
KLANG - Kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) menangkap ikan menggunakan bubu naga di perairan Klang, di sini mengundang padah selepas ditahan pada Selasa.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pemeriksaan anggota maritim mendapati dua bot fiber yang ditahan itu tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Menurutnya, setiap bot fiber itu masing-masing memiliki tiga set bubu naga yang dianggarkan bernilai RM300.
"Bot fiber itu masing-masing dikendalikan oleh dua warga Myanmar serta dua warga Indonesia.
"Keempat-empat suspek berusia lingkungan 22 hingga 31 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah itu disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, penggunaan bubu naga bukan sahaja menyalahi undang-undang, bahkan menjejaskan ekosistem laut dan sumber pendapatan nelayan tradisional pesisir pantai.
Tegasnya, Maritim Negeri Selangor sentiasa komited dalam meneruskan operasi serta rondaan di sepanjang perairan Selangor bagi membanteras kes jenayah dan pelanggaran undang-undang di negara ini.
"Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke MERS 999 atau hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 untuk maklum balas segera," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!