Persiapan KDA FC capai 85 peratus, fokus selesaikan gaji tertunggak
WALAUPUN bergelut dengan isu kewangan musim 2023, Kedah Darul Aman (KDA) FC tetap fokus melakukan segala persiapan pasukan-pasukan di bawahnya bagi musim 2024-2025.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Shamsudin berkata, proses persiapan pasukan kini sudah mencapai tahap 85 peratus namun segala langkah yang diatur bergantung kepada keutamaan penyelesaian tunggakan kewangan tahun 2023.
Menurutnya, kelab menerima makluman dari Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) bahawa mereka diberikan tempoh sehingga 5 Mac ini sebagai tarikh akhir penyelesaian gaji tertunggak bagi musim lalu.
“Tarikh tersebut adalah sebelum Mesyuarat Lembaga Pengarah (BOD) MFL pada 6 Mac dan pengurusan KDA FC diketuai Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar telah mendapat kelulusan pembiayaan dana dari institusi tertentu untuk tujuan penyelesaian tunggakan tersebut. Namun, dana tersebut hanya akan ditunaikan seawal bulan April.
“Rentetan dari kekangan memenuhi keperluan sebelum tarikh akhir penyelesaian yang diputuskan oleh FIB, KDA FC sedang bertungkus lumus mendapatkan dana pendahuluan bagi tujuan pembayaran segera kepada semua pemain dan pegawai semua pasukan KDA FC yang bertanding dalam Liga Malaysia, serta staf pentadbiran kelab,” katanya pada Khamis.
Jelas Shahrul, pasukan tersebut merancang untuk memulakan latihan bagi pra-musim 2024-2025 pada minggu hadapan.
Menurutnya, Lembaga Pengarah KDA FC terharu dengan komitmen yang diberikan oleh semua individu yang terlibat dengan isu kewangan ini kerana terus komited dan masih setia bersama kelab tersebut.
“Kerjasama diberikan dan memahami situasi semasa kelab, mengekalkan keharmonian bersama pengurusan, pemain dan pegawai serta staf pentadbiran dalam isu ini memberi motivasi dan petanda positif untuk penyelesaian kemelut yang berlaku.
“Komunikasi antara pihak pengurusan kelab dengan semua pihak merupakan keutamaan dan sering diadakan dengan pihak berkaitan bagi menyampaikan status perkembangan penyelesaian tunggakan terkini melalui wakil pemain, pegawai serta staf kelab, dan juga makluman lisan dan bertulis kepada pemegang taruh Liga Malaysia iaitu pihak MFL dan FAM,” ujarnya lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!