Tukar portfolio cabaran baharu tiga Exco Johor
JOHOR BAHRU - Pembinaan hospital di Pasir Gudang antara keperluan mendesak yang akan menjadi keutamaan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia, Aminolhuda Hassan yang baru sahaja memegang portfolio kesihatan negeri mulai semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani itu yang sebelum ini memegang portfolio Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi berkata, projek itu adalah satu harapan rakyat.
“Insya-ALLAH, ini antara tugas yang akan saya usahakan dan akan terus berhubung kepada kementerian.
“Ia akan diteruskan cuma saya akan lebih ke depan mendapatkan maklumat terkini serta perkembangan pembangunan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Meskipun pada awalnya beliau 'terkejut' dengan rombakan itu, namun menganggapnya sebagai satu cabaran yang harus digalas dengan baik.
“Saya yakin dengan sokongan pelbagai pihak terutama Kementerian Kesihatan, pengarah kesihatan mahupun di peringkat daerah kita akan dapat sama-sama menerajui dan menyelesaikan segala permasalahan dengan baik.
“Saya juga bercadang untuk mengadakan pertemuan bersama Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu minggu hadapan untuk berbincang dengan lebih menyeluruh mengenai hal ehwal kesihatan di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sains dan Teknologi, Sheikh Umar Bagharib Ali turut menyifatkan penstrukturan itu di luar jangkaannya kerana baru sahaja memegang portfolio lain tahun lepas.
Bagaimanapun, sebagai Exco, beliau sentiasa bersedia untuk menjalankan apa jua amanah sebaik mungkin demi rakyat.
“Saya berharap penstrukturan ini dapat menghasilkan kejayaan yang lebih besar dalam pentadbiran negeri Johor,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, beliau akan melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberi seperti yang diamanatkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
“Saya juga akan memastikan persiapan Sukma berjalan dengan lancar seperti yang dirancang selain melihat persediaan atlet untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) nanti,” kata ADUN Semerah itu.
Ketiga-tiga Exco kerajaan negeri itu terlibat dalam penyusunan dan penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu berkuat kuasa semalam.
Menurut satu kenyataan dari Pejabat Menteri Besar, penyusunan semula portfolio itu bertujuan bagi memperkemas dan memantapkan bidang tugas Exco-Exco berkenaan.
Rombakan itu juga dilakukan sebagai keperluan semasa yang selari dengan keadaan pentadbiran kerajaan negeri Johor, menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!