Warga Myanmar mengaku tunjuk kemaluan
MELAKA - Seorang lelaki warga Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini pada Khamis atas tuduhan menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita.
Tertuduh, Than Htay Aung, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melanggar kesopanan terhadap seorang wanita berusia 23 tahun dengan menunjukkan kemaluan kepada pengadu.
Tindakan itu dilakukan di bilik air tingkat bawah di Aeon Bandaraya, Jalan Lagenda, di sini lebih kurang jam 2.45 petang, pada 4 Februari lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara boleh sampai dua tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Majistret Nabilah menangguhkan 18 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi fakta dan hukuman dengan kehadiran jurubahasa Myanmar.
Ia susulan mahkamah perlu memastikan bahawa pengakuan bersalah tertuduh adalah tuntas dan benar-benar memahami pertuduhan dan sebab serta akibat pengakuan yang dilakukan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!