Wanita jatuh kondominium: Penduduk dengar orang bertengkar, jeritan
SHAH ALAM - 'Saya sangka pertengkaran biasa, rupanya berakhir dengan kematian'.
Demikian cerita penduduk yang mahu dikenali sebagai Chan berkaitan kejadian seorang wanita yang maut setelah jatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam di sini, dipercayai ditolak kekasihnya pada malam Rabu.
Menurutnya, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya dan mendengar suara seperti orang bertengkar sebelum disusuli dengan jeritan wanita.
"Kedengaran suara yang agak kuat disusuli jeritan, saya sangkakan mungkin hanya pertengkaran biasa sebelum mendengar bunyi dentuman.
"Saya sangka ada barang jatuh, namun bila lihat dari arah balkoni, saya mendapati sekujur tubuh terbaring kaku berdekatan kolam renang di bahagian tingkat tujuh kondominium ini," katanya pada Khamis.
Tambah Chan, kejadian ini merupakan pertama kali berlaku sejak dia mendiami kondominium itu beberapa bulan lalu.
"Tak sangka sampai begini jadinya, sehingga libatkan kematian, sebelum ini ada juga dengar orang bertengkar tapi tiada sampai tahap macam ini," katanya.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Siti, 30, berkata, kejadian itu disifatkan sebagai satu pembunuhan kejam.
"Bagi saya pelaku jenayah ini memang zalim dan tidak berperikemanusiaan," katanya.
Pada Rabu, suasana kawasan kondominium di Setia Alam dekat sini gempar apabila seoramg wanita ditemui maut dipercayai ditolak kekasihnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek yang merupakan pemandu lori warga tempatan itu diberkas dan direman tujuh hari untuk siasatan lanjut berkaitan kejadian.
Beliau berkata, laporan kejadian itu diterima pihaknya pada jam 10.02 malam.
Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif ganja dan mempunyai lapan rekod jenayah termasuk dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!