KWSP dijangka umum inisiatif Akaun 3 pada April ini
KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan inisiatif 'Akaun Fleksibel' atau Akaun 3 pada April ini yang merangkumi mekanisme serta kelonggaran pengeluaran kepada pencarum, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, mekanisme mengenai Akaun 3 itu akan diperjelaskan kepada pencarum selepas KWSP mengumumkan agihan dividen pada Ahad ini.
"Mereka (KWSP) juga akan menyatakan dan menerangkan cara-cara pengeluaran, mekanisme yang ada di mana pemecahan akaun tiga akan diterangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai status terkini Akaun 3 khususnya dari segi kaedah pengeluaran pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.
Amir Hamzah berkata, kerajaan tidak melihat kepada sebarang pengeluaran secara bersasar kerana ia akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan.
"Kerajaan tidak melihat kepada pengeluaran bersasar kerana akan ada juga kelonggaran dalam Akaun 3 itu,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!