'Pekerja sambilan pun perlu daftar PERKESO'
SEREMBAN - 'Mereka hanya pekerja sambilan saja'. Itu antara alasan yang diberi majikan apabila gagal mendaftar dan mencarum pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, Nur Muhammad Bakhtir Mohamad berkata, bukan sahaja pekerja sepenuh masa, tetapi pekerja sambilan juga perlu didaftarkan dengan PERKESO sekali gus memastikan mereka mendapat perlindungan.
"Jika namanya bekerja dan ada majikan, dibayar dengan gaji bulan atau gaji hari atau apa sahaja kaedah bayaran gaji, seharusnya mereka didaftarkan dengan PERKESO.
"Tapi kita dapati segelintir majikan tak ambil perhatian soal itu manakala ada juga majikan yang lambat mendaftar pekerja mereka dengan PERKESO," katanya ketika ditemui pada 'Ops R&R' dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diadakan di Kawasan Rehat dan Rawat Seremban arah utara dekat sini pada Khamis.
Menurutnya, majikan sepatutnya membuat pendaftaran pekerja dengan PERKESO pada bulan sama mereka diambil bekerja dan mula membuat caruman pada bulan berikutnya.
Dalam pada itu, berkenaan operasi diadakan, beliau berkata, sebanyak 70 majikan diperiksa dan 22 kompaun dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan RM26,500.
"Mereka dikenakan tindakan di bawah Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 kerana tidak mendaftar pekerja dan membuat caruman untuk mereka.
"Bagi tindakan di bawah SSM pula, sebanyak tiga kompaun dikeluarkan membabitkan jumlah RM10,500," katanya.
Sementara itu, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan yang turut hadir berkata, pihaknya berharap operasi berkenaan akan diadakan dari masa ke masa bagi memastikan majikan mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.
"Kita mahu pekerja ini dilindungi dan boleh mendapat faedah di bawah perlindungan PERKESO," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!