Kerajaan sedia pertimbang perluas manfaat bantuan SARA

Amir Hamzah ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
Amir Hamzah ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memperluas manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada kegunaan selain pembelian barangan asas, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

"SARA adalah konsep yang sesuai dan boleh dipertimbangkan untuk bantuan kaedah lain di masa depan,” katanya menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) sama ada kerajaan akan memperluas pemberian SARA bagi rawatan di klinik swasta pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, bagi tahun ini, penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas antaranya beras, minyak masak, telur dan tepung kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Menurutnya, dengan penambahbaikan itu, program SARA 2024 akan memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta pada 2023.

Amir Hamzah berkata, penerima yang layak untuk SARA juga diperluas merangkumi golongan miskin dan miskin tegar berbanding hanya terhad kepada miskin tegar tahun lepas.

Katanya kadar bantuan untuk isi rumah SARA turut ditingkatkan kepada RM1,200 berbanding RM600 pada 2023, manakala kadar untuk golongan bujang kekal RM600.- Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!