IMFC diperluaskan ke JS-SEZ, rangsang pertumbuhan ekonomi - Tengku Zafrul
PELUASAN strategik Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) ke Johor mencerminkan pendekatan progresif yang bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih ramai pelabur ke negeri itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, inisiatif berkenaan diluluskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandakan sebagai penubuhan IMFC pertama di luar Kuala Lumpur menekankan kesungguhan Malaysia dalam memudahkan perjalanan pelabur di peringkat nasional.
Beliau berkata, peluasan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bertujuan untuk memupuk hubungan perniagaan yang lebih kukuh antara Malaysia dan Singapura.
"Penyepaduan IMFC ke dalam agenda ini menyerlahkan peranannya dalam memupuk persekitaran mesra perniagaan untuk pertumbuhan bersama. JS-SEZ dijangka menjadi pemacu utama pembangunan wilayah dan negara, membuktikan impak positif zon ekonomi rentas sempadan terhadap kemakmuran.
"Langkah ini akan mewujudkan keselarasan prosedur pelaburan dan memudahkan pelaburan masuk ke Malaysia, ditambah dengan lokasi strategik dan sumber semula jadi Johor, IMFC Johor bakal meningkatkan lagi daya saing negeri ini, pada masa sama menjadi tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di peringkat global.
"Kami melihat IMFC sebagai pemboleh utama pelaburan yang turut menyokong Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, menyumbang kepada inisiatif pertumbuhan yang mampan, sambil menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, berdasarkan pencapaian Pejabat Pelaksanaan dan Pemudahcaraan Projek (TRACK), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan IMFC sedia ada, IMFC Johor komited untuk menyampaikan khidmat perundingan dan khidmat nasihat yang disesuaikan dengan cabaran dan peluang unik di negeri selatan ini, seterusnya mewujudkan persekitaran yang membolehkan Johor untuk merealisasikan potensi sepenuhnya.
MITI dan MIDA akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Johor untuk memupuk persekitaran ekonomi yang dinamik, berdaya saing dan inovatif yang akan menyokong bukan sahaja perniagaan Malaysia, tetapi juga peluang pekerjaan untuk rakyat, kata Tengku Zafrul. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!