Polisi mampan ekonomi kitaran perlu dibangunkan - Ahmad Shabery

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyampaikan pembentangan bertajuk FELDA dan Tanah Wilayah pada Kongres Ekonomi Bumiputra (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyampaikan pembentangan bertajuk FELDA dan Tanah Wilayah pada Kongres Ekonomi Bumiputra (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan perlu mewujudkan polisi atau roadmap (hala tuju) ekonomi kitaran yang mampan dan menjadi pencetus perubahan kepada transformasi ekonomi peneroka dan pekebun kecil, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, sekiranya berjaya, pengaplikasian ekonomi kitaran dijangka memberi keuntungan lebih RM100 bilion, khususnya melibatkan produk seperti minyak kapal terbang atau bahan api penerbangan mampan (SAF).

"Nilai kepada SAF, sekarang ini sudah dua kali ganda harganya berbanding bahan api penerbangan biasa.

" ... kalau nak menolong ekonomi bumiputera ini, kita mesti cari bidang yang penting pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan hasil libat urus kumpulan Felda dan Tanah Wilayah bersempena dengan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata, Felda ketika ini amat menekankan sistem ekonomi kitaran kerana sisa kelapa sawit pada masa ini mempunyai nilai yang besar.

"Barang yang dipanggil sisa bukan sesuatu yang boleh dibuang tetapi menghasilkan nilai besar untuk negara,” katanya.

Konsep ekonomi kitaran merupakan konsep guna, pulang dan cipta semula untuk memaksimumkan penggunaan dan hasil.

Mengenai syor penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera, beliau berkata cadangan berkenaan perlu dilihat secara serius dalam KEB 2024 kerana ia akan membantu pemerkasaan bumiputera.

Artikel Berkaitan:

"KEB akan mewujudkan satu masyarakat yang seimbang dan adil untuk semua,” katanya.

KEB 2024 yang bermula hari ini hingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus (SLU) meliputi 10 kumpulan.

Kumpulan itu ialah Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pilihan Kerjaya Utama, Pengukuhan Industri Halal, Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli, Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat, Daya Saing Perusahaan Bumiputera, Penguasaan Teknologi Baharu, Felda dan Tanah Wilayah, Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!