KLIA: Akui, perbaiki kelemahan jika ada - Timbalan Menteri
KUALA LUMPUR - Sebarang kelemahan khususnya dari segi perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) harus diakui dan perlu diperbaiki dari masa ke masa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, beliau bagaimanapun sedia maklum bahawa sudah banyak pembaharuan yang telah dilakukan pihak pengurusan KLIA ketika ini.
"Sebagai rakyat Malaysia kita kena lihat apa sebab utama KLIA telah 'diiktiraf' sebagai salah satu lapangan terbang yang tidak memberikan perkhidmatan terbaik.
"Tetapi dengan banyak pembaharuan yang saya lihat dibuat pihak pengurusan KLIA, pastinya kerajaan dalam masa yang sama mempunyai perancangan yang baik dan menarik pada masa akan datang... jadi apa pun kelemahan kena akui dan pastikan setiap kelemahan itu diperbaiki dan seterusnya jadi kekuatan dalam menawarkan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Penyampaian Standard Kraftangan Malaysia hari ini.
Baru-baru ini, sebuah laman web menyenaraikan KLIA di kedudukan kelapan sebagai lapangan terbang terburuk di Asia berdasarkan perkongsian pengalaman pengembara perniagaan.
Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) memeterai MoU bersama enam Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan bagi menjalinkan kerjasama strategik dari sudut penyelidikan, pemasaran dan teknologi.
Enam IPT tersebut ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniszA) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Sebelum itu, Khairul Firdaus dalam ucapannya berkata inisiatif itu menunjukkan komitmen semua pihak dalam menggalas mandat di bawah Kerangka Ekonomi MADANI dengan memperkasa rakyat menerusi bidang pendidikan tinggi.
"Justeru, harapan kami di kementerian dan Kraftangan Malaysia agar kerjasama strategik ini akan melonjakkan kecemerlangan pengajian tinggi tempatan. Selain itu, usaha ini juga dapat menjadikan pengisian pengajian lebih berkualiti dan relevan,” katanya.
Dalam program sama, Khairul Firdaus turut menyampaikan sijil penilaian Standard Kraftangan Malaysia kepada 154 usahawan kraf bagi mengukuhkan dan meningkatkan daya saing usahawan kraf tempatan. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!