Surat Sultan Selangor kepada Abdul Hadi gamatkan sidang DUN

Sidang DUN Selangor kecoh selepas beberapa ADUN kerajaan dan pembangkang membangkitkan surat Sultan Selangor kepada Abdul Hadi.
Sidang DUN Selangor kecoh selepas beberapa ADUN kerajaan dan pembangkang membangkitkan surat Sultan Selangor kepada Abdul Hadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Usul menjunjung kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kecoh berhubung surat baginda kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid berkata, dua ADUN pembangkang dari Ijok dan Paya Jaras semasa menjunjung titah Sultan Selangor tidak menyentuh langsung mengenai surat yang baharu dikeluarkan Sultan Selangor kepada Abdul Hadi pada Khamis.

"Dalam surat ini menyentuh kenyataan Abdul Hadi bukan saja mengelirukan dan boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu," katanya semasa usul menjunjung titah Sultan Selangor semasa sidang DUN Selangor pada Khamis.

Danial Al Rashid memberitahu, perkara itu dianggap serius dan perlu diambil berat oleh semua ADUN sama ada kerajaan atau pembangkang.

Perkara dibangkitkan Danial Al Rashid itu kemudian disambut ADUN Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi yang mencelah dan meminta ADUN Paya Jaras, Datuk Dr Halim Tamuri memberi penjelasan berhubung surat Sultan Selangor kepada Abdul Hadi.

"Kalau kita lihat daripada surat yang tular pada hari ini daripada istana dialamatkan kepada Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor yang juga ADUN Paya Jaras.

"Kita sering menyebut tentang kita menjunjung titah dan sayang kepada tuanku, tetapi pada hari ini apabila tuanku menitahkan sesuatu, tetapi ada pihak tertentu cuba menidakkan atau meremehkan titah baginda.

"Setuju atau pun tidak, (ADUN) Batu Tiga, kepada yang menerima surat ini memberi penjelasan segera tentang isu yang sedang tular pada hari ini," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Danial Al Rashid kemudiannya memberi ruang kepada Halim untuk menjawab dan menjelaskan isu surat terbabit.

Bagaimanapun, Halim hanya berterima kasih dan menyerahkan perkara itu kepada Sultan Selangor dan Abdul Hadi.

Situasi itu seterusnya menimbulkan kekecohan apabila beberapa ADUN kerajaan dan pembangkang bangkit dengan menyuarakan pandangan masing-masing.

ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin memberitahu, surat Sultan Selangor itu dihantar kepada Abdul Hadi dan ia tiada kena mengena dengan sidang DUN Selangor.

"Surat itu sudah dijawab kepada tuanku. Kenapa hendak tanya lagi?. Perbahasan kita tentang titah tuanku dalam DUN Selangor," ujar beliau.

Kekecohan kira-kira lima minit itu akhirnya ditenangkan Timbalan Speaker DUN Selangor, Mohd Kamri Kamarudin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' pada 20 Februari lalu.

Kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!