Maqis Kedah rampas 27 tan keratan ayam sejuk beku
BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah berjaya merampas lebih 27 tan keratan ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM275,640, Selasa lalu.
Pengarah Maqis Kedah, Hisham Abu Bakar berkata, rampasan itu adalah hasil pemeriksaan terhadap lori kontena dari negara jiran di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira 12 tengah hari selepas mendapati terdapat perkara meragukan.
"Terdapat 1,257 kotak seberat 15,084 kg (15 tan) keratan ayam sejuk beku diisytiharkan secara tidak tepat dan mengelirukan.
"Selain itu, sebanyak 1,040 kotak seberat 12,489 kg (12.5 tan) keratan ayam sejuk beku pula tidak memiliki sijil halal dan sijil kesihatan. Kesemua barangan ini dirampas dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 13 dan Seksyen 15, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tidak melebihi enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya lagi, Maqis akan terus menjalankan penguatkuasaan undang-undang melalui operasi bersama agensi lain bagi memastikan tumbuhan, karkas, ikan dan hasilan pertanian bebas ancaman perosak atau penyakit berjangkit.
“Kita juga akan pastikan syarikat pengimport mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” tegasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!