Raja Permaisuri Agong rasmi majlis penutup Hari Peringatan Sedunia 2024 Pandu Puteri
KANGAR - Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan majlis penutup sambutan Hari Peringatan Sedunia 2024 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) peringkat kebangsaan di Dewan 2020 di sini hari ini.
Berangkat sama ke majlis itu Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Turut hadir di majlis penutup sambutan yang bertemakan ‘Our World, Our Thriving Future’ itu isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua PPPM Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng.
Ketika merasmikan majlis itu, Raja Zarith Sofiah bertitah bahawa PPPM boleh menjadi contoh dalam kepimpinan bagi mengekalkan kelestarian alam agar rakyat dapat hidup dalam suasana yang sempurna dan mendamaikan.
"Sebagai persediaan bagi masa hadapan, perlu dipastikan anak-anak kita terus dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian dalam menangani isu semasa selain cabaran dialami serta masalah mengenai alam sekitar.
"Usaha perlu diteruskan atau dipertingkat sekiranya perlu dalam menerapkan kepada setiap ahli Pandu Puteri untuk belajar dan mempraktikkan kelestarian alam," titah Seri Paduka Baginda.
Raja Zarith Sofiah juga bertitah pemimpin Pandu Puteri dapat membimbing ahlinya dengan mengikuti program Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) serta pelbagai program lain yang memberi manfaat dan pengalaman berkesan bagi membantu membina sahsiah ahli PPPM berpandukan nilai-nilai murni.
"Semoga kegiatan persatuan membantu melahirkan ahli-ahli yang mempunyai disiplin tinggi dan akhlak terpuji dalam usaha kita melahirkan generasi berwibawa yang bakal menjadi tonggak kepada kepimpinan negara pada masa hadapan," titah Seri Paduka Baginda. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!