Mbappe pemain paling bernilai di dunia
PERANCIS - Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe yang baru sahaja berusia 21 tahun dinobatkan sebagai pemain paling bernilai di dunia.
Mbappe yang mencatat sejarah bersama kelab Perancis itu telah menjaringkan 18 gol dalam kesemua perlawanan, lapor Mirror.co.uk menurut sumber.
Penyerang kelab bola sepak di Perancis itu kini terus dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool dan Real Madrid namun kedua-dua kelab perlu membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan khidmatnya.
Menurut CIES Football Observatory, nilai pasaran Mbappe mencecah 226 juta pound sterling diikuti Raheem Sterling (190 juta pound sterling) dan Mohamed Salah (149 juta pound sterling).
Selain itu, tonggak utama Liverpool, Sadio Mane turut menduduki tangga lima teratas (155.6 juta pound sterling) dalam senarai itu, ketinggalan di belakang Jadon Sancho.
Turut tersenarai, Harry Kane di tempat keenam diikuti Marcus Rashford dan Lionel Messi di kedudukan kelapan.
Bintang Barcelona, Antoine Griezmann (105 juta pound sterling) dan Lautaro Martinez (99 juta pound sterling) masing-masing melengkapkan senarai kedudukan 10 teratas bagi kategori itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!