Bersabarlah 2 tahun lagi sebelum menuju Januari 2026
WALAUPUN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memberi jaminan takwim sesi persekolahan bermula Januari akan kembali berkuat kuasa pada 2026 dengan usaha mengawal sesi persekolahan 2024/2025 bermula bulan Februari, masih ada keluh-kesah dan rungutan yang kedengaran daripada segelintir individu terutama ibu bapa.
Permulaan takwim persekolahan diubah daripada Januari kepada Mac sejak 2022 selepas KPM mengumumkan sesi persekolahan 2021 dilanjutkan sehingga Februari tahun berikutnya susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Bagi tahun ini, persekolahan akan bermula pada 10 Mac bagi Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu), sementara Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 11 Mac ini.
Ya, tahun ini agak mencabar kerana ibu bapa terkesan dengan pertembungan pembukaan sekolah dan sambutan Ramadan serta Syawal pada waktu sama. Mereka perlu mengeluarkan belanja yang banyak.
Namun, lebih ramai yang merungut kerana ibu bapa sukar untuk merancang cuti sekolah bersama anak-anak. Hujung tahun masih bersekolah, sedangkan itulah masanya sesuai untuk pergi bercuti. Ketika anak sudah memulakan cuti akhir persekolahan, ibu bapa pula sudah mulai sibuk bekerja.
Namun, ibu bapa juga perlu faham takwim persekolahan tidak boleh diubah secara drastik kerana banyak faktor perlu diambil kira dan dipertimbangkan. Ia bukan satu perkara yang boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat, sebaliknya ia adalah proses yang beransur-ansur dan mengambil masa beberapa tahun dengan pengorbanan semua pihak.
Sebarang peralihan sesi perlu diberikan tempoh sesuai terutama untuk selaraskan semula tarikh penting peperiksaan utama dan aktiviti akademik serta kokurikulum. Jumlah bilangan hari persekolahan pula harus dikekalkan 190 hari bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum.
Pada masa sama, ia juga bagi memastikan pelajar dapat masa belajar yang mencukupi sebelum mereka menduduki peperiksaan penting. Selain peperiksaan, tarikh cuti sekolah juga perlu diambil kira. Jumlah cuti penggal tidak boleh dikurangkan kerana guru dan pelajar memerlukan masa rehat.
Justeru, ibu bapa yang berkeluh-kesah itu diharap dapat bersabar untuk tempoh dua tahun lagi sebelum takwim persekolahan kembali seperti sediakala. KPM telah berusaha sedaya upaya melakukan yang terbaik dan meletakkan kepentingan utama kepada kebajikan serta keselesaan pelajar dan guru.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!