Yew Sin- Ee Yi kekalkan kemaraan di Jerman

Yew Sin- Ee Yi
Yew Sin- Ee Yi
A
A
A

BEREGU lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jerman selepas dipaksa bergelut sebelum menyingkirkan cabaran gandingan dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.

Pada perlawanan yang berlangsung di Dewan Sukan Westenergie, Mulheim itu, Yew Sin-Ee Yi yang berstatus nombor 12 dunia menang mudah 21-14 dalam set pertama.

Bagaimanapun lawan yang berada di kedudukan ke-35 dunia itu kemudian bangkit set kedua dalam pertarungan sengit sebelum menang 21-19 bagi mengheret perlawanan ke set ketiga.

Set penentuan, Yew Sin-Ee Yi yang juga pilihan pertama tidak menunggu lama kembali memperkemaskan permainan untuk menang 21-10 dalam masa 51 minit.

Yew Sin-Ee Yi akan berdepan pasangan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Pong Han di suku akhir yang menyingkirkan Christopher Grimley-Matthew Grimley, 21-16, 21-17 dalam masa 39 minit.

Turut lagi mara ke kejuaraan berstatus Super 300 itu dua beregu campuran iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Soon Huat-Shevon Lai mengesahkan kemaraan selepas bangkit menewaskan beregu dari Singapura, Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han, 8-21, 21-15, 21-8 dalam masa 43 minit.

Kian Meng-Pei Jing juga mara selepas menjinakkan pilihan kelapan, Rinov Rivaldy- Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia, 21-17, 21-19 dalam masa 37 minit.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun hasrat satu lagi pasangan wanita negara, Vivian Hoo-Chiew Sien meneruskan kemaraan tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva, straight set 21-16, 21-14 dalam masa 37 minit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!