Lebih 100 maut, 750 cedera di Gaza ketika dapatkan bantuan makanan

Zionis melakukan serangan ketika penduduk Gaza sedang beratur untuk mendapatkan bantuan makanan. Foto AP
Zionis melakukan serangan ketika penduduk Gaza sedang beratur untuk mendapatkan bantuan makanan. Foto AP
A
A
A

GAZA - Lebih daripada 100 rakyat Palestin terbunuh manakala 700 yang lain cedera susulan serangan tentera rejim Zionis Israel di Kota Gaza pada Khamis.

Menurut Kementerian Kesihatan, serangan berlaku ketika orang ramai sedang beratur untuk mendapatkan bantuan makanan.

Jelasnya angka kematian yang disahkan setakat ini adalah 112 mangsa manakala lebih daripada 750 orang cedera dalam kejadian itu.

Serangan berkenaan turut mendapat kecaman keras dari Kementerian Luar Palestin yang menyifatkan tindakan itu sebagai pembunuhan tidak berperikemanusiaan.

Ia mendakwa kejadian tersebut sebahagian daripada 'perang genosid' tentera Israel dan menggesa komuniti antarabangsa untuk 'campur tangan segera' bagi merealisasikan gencatan senjata.

Katanya, gencatan senjata merupakan satu-satunya jalan untuk melindungi orang awam di Palestin.

Ketika kejadian, orang ramai dilaporkan sedang berkumpul di Jalan al-Rashid di mana trak yang menghantar bantuan tepung gandum sedang menuju.

Agensi berita antarabangsa Al Jazeera melaporkan puluhan mangsa korban dan cedera dikejarkan ke hospital menggunakan trak disebabkan kawasan berkenaan tidak dapat diakses oleh ambulans.

Artikel Berkaitan:

"Kami ke sini untuk mendapatkan tepung gandum. Anggota tentera Israel melepaskan tembakan ke arah kami," kata seorang saksi kepada Al Jazeera.

Wartawan agensi berita itu, Ismail al-Ghoul melaporkan, selepas melepaskan tembakan terhadap orang ramai, kereta kebal Israel melanggar mangsa yang terkorban dan cedera dalam insiden itu.

Katanya, kesemua mangsa yang maut dan tercedera dikejarkan ke empat pusat kesihatan berdekana iaitu Hospital al-Shifa, Hospital Kamal Adwan, Hospital al-Ahli dan Hospital Jordan menggunakan trak.

Perkhidmatan ambulans tidak dapat memasuki kawasan berkenaan disebabkan jalan di kawasan itu telah dimusnahkan.

Angka korban turut dijangka akan meningkat disebabkan hospital tidak dapat lagi menampung mangsa akibat kekurangan bahan api dan ubat-ubatan.

Tentera Israel dalam reaksi awal susulan insiden itu berkata, anggotanya melepaskan tembakan selepas rasa terancam dengan kehadiran ratusan orang awam di kawasan tersebut.

Jurucakap kerajaan Amerika Syarikat (AS) berkata, pihaknya telah meminta Israel untuk memberi jawapan rasmi berkenaan kejadian itu secepat mungkin selain memastikan bantuan selamat tiba kepada penduduk di Gaza.

"Kami telah berhubung dengan kerajaan Israel awal pagi ini dan kami difahamkan siasatan sedang dijalankan.

"Kami akan mengawasi siasatan berkenaan dan menggesa pihak Israel memberi jawapan secepat mungkin," katanya.

Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!