'Saya juga seorang manusia' - Rashford
MARCUS Rashford meminta pihak yang mengkritiknya supaya menunjukkan sedikit sifat perikemanusiaan sebelum mereka mempersoalkan komitmennya kepada Manchester United.
Penyerang England itu bergelut musim ini apabila menjaringkan hanya lima kali untuk United berbeza dengan musim lalu, apabila dia berjaya meledak 30 gol.
Rashford juga berdepan kritikan berhubung kelakuannya di luar padang.
Laporan pada akhir Januari menyatakan Rashford telah mengunjungi kelab malam Belfast sebelum terlepas latihan bersama United.
Pengurus United, Erik ten Hag menyifatkan keputusan Rashford untuk ke kelab malam selepas kekalahan derby kepada Manchester Citu 0-3 Oktober lalu tidak boleh diterima.
"99 peratus saya boleh mengabaikan kritikan itu. Tetapi kadangkala, ia melampaui batas dan saya juga sebagai seorang manusia.
"Media juga menulis sesuatu yang tidak benar tentang saya. mereka menulis mengenai berapa kos kereta saya, meneka gaji mingguan saya, barang kemas saya atau pun tatu saya.
"Ia mesti mengenai bahasa badan saya, mempersoalkan moral saya, membuat spekulasi tentang keluarga saya dan masa depan bola sepak saya," katanya.
Menurut Rashford, dia merasakan kebanyakan kritikan terhadapnya berpunca daripada kempen berprofil tinggi dilancarkannya bagi menangani masalah pemakanan kanak-kanak ketika pandemik Covid-19.
"Entah kenapa ia membuatkan sesetengah orang marah. Ia seperti mereka menanti untuk saya melakukan kesilapan dan kemudian menuding jari serta berkata, 'Lihat? Siapa diri dia yang sebenarnya?'
"Saya bukan seorang yang sempurna. Apabila saya melakukan kesilapan, saya akan mengakuinya dan akan cuba menjadi lebih baik.
"Tetapi jika anda mempersoalkan tentang komitmen saya terhadap Manchester United, saya perlu mempertahankan diri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!