Ulang kaji hukum berkaitan puasa Ramadan
RAMADAN, bulan yang penuh dengan keberkatan sudah hampir menjengah kita sekali gus menandakan akan bermulanya ibadah puasa yang wajib dilaksanakan umat Islam.
Masih ingatkah lagi kita mengenai hukum-hakam berkaitan puasa? Siapakah yang wajib berpuasa dan apakah perbuatan yang membatalkan puasa?
Menjawab persoalan asas berkaitan puasa ini, Sinar Islam merujuk Pegawai Agama 91 Rejimen Semboyan Diraja, Angkatan Tentera Malaysia, Kapten Mohd Khairuddin Mohd Halim bagi menerangkan jawapan yang bermain di fikiran kita.
Sebagai mukadimahnya, beliau merujuk kepada ayat 183 Surah al-Baqarah sebagai perintah wajib kepada umat Islam untuk berpuasa:
“Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”
Menurutnya, puasa dari segi bahasa bermaksud tahan manakala dari segi syarak, puasa bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar iaitu waktu Subuh hinggalah terbenamnya matahari iaitu waktu Maghrib, dengan niat.
Syarat wajib puasa
Katanya, jika seseorang itu cukup empat syarat wajib puasa, maka wajiblah dia untuk melaksanakan puasa itu.
“Empat syarat wajib puasa itu ialah seseorang itu hendaklah Islam, baligh, berakal dan mampu untuk mengerjakan puasa.
“Jika tidak mencukupi salah satu syarat tersebut, maka gugurlah kewajipan berpuasa tersebut ke atasnya.
“Sebagai contoh, tidak wajib berpuasa ke atas orang bukan Islam, kanak-kanak yang belum baligh, orang gila atau orang yang sangat tua yang tidak mampu berpuasa,” katanya.
Bagaimanapun katanya, ibu bapa hendaklah mengajarkan anak-anak untuk berpuasa sejak dari kecil agar mereka sudah terbiasa dengan ibadah itu apabila baligh nanti.
Hurainya lagi, puasa terbahagi kepada dua iaitu puasa wajib dan puasa sunat.
“Puasa wajib seperti puasa pada bulan Ramadan, puasa ganti dan puasa nazar manakala puasa sunat pula selain puasa wajib tersebut.
“Mudahnya Islam, ALLAH SWT hanya mewajibkan kita berpuasa pada bulan Ramadan dan itupun pada siang hari sahaja. Selain Ramadan iaitu 11 bulan yang lain, kita tidak diwajibkan berpuasa,” katanya.
Kewajipan berpuasa dan kemudahan dalam melakukan ibadah itu dirujuk kepada ayat 185 Surah al-Baqarah:
“Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan sebagai pembeza (antara yang benar dan batil).
“Oleh sebab itu, barang siapa dalam kalangan kamu yang berada dalam bulan itu, maka berpuasalah. Dan barang siapa yang sakit atau bermusafir (dia tidak berpuasa), maka (wajib menggantinya), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain.
“ALLAH menginginkan kemudahan bagi kamu, dan tidak menginginkan kesukaran bagi kamu.”
Rukun puasa
Mengulas mengenai rukun puasa, graduan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya itu berkata, rukun puasa adalah niat dan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.
“Niat adalah apa yang kamu hadirkan di dalam hati dan wajib berniat puasa Ramadan pada waktu malam iaitu selepas Maghrib hingga sebelum waktu Subuh.
“Mengikut Mazhab Syafie, wajib melakukan niat itu pada setiap malam namun kita boleh mengguna pakai kaedah Mazhab Maliki yang mengatakan sah puasa walaupun hanya berniat pada malam pertama sahaja.
“Sebagai contoh, aku berniat puasa fardu Ramadan sebulan. Maka niatnya pada malam pertama Ramadan itu dikira sah tetapi lebih afdal untuk berniat pada setiap malam,” jelasnya.
Perkara membatalkan puasa
Adapun perkara yang membatalkan puasa, Mohd Khairuddin menjelaskan terdapat sepuluh perkara yang membatalkan puasa iaitu:
1 - Makan atau minum dengan sengaja.
2 - Memasukkan sesuatu ke dalam rongga batin dengan sengaja.
3 - Muntah dengan sengaja.
4 - Persetubuhan pada siang hari.
5 - Keluar mani dengan sengaja.
6 - Gila.
7 - Pengsan sepanjang hari.
8 - Keluar darah haid.
9 - Keluar darah nifas.
10 - Murtad.
Bagi menjawab persoalan perkara-perkara sunat ketika berpuasa, beliau menerangkan tiga amalan utama yang boleh ditekankan ialah:
1 - Melambatkan atau melewatkan sahur.
2 - Menyegerakan berbuka puasa apabila masuk waktu Maghrib.
3 - Tidak bercakap perkara yang tidak berfaedah.
“Menurut ulama, tujuh anggota yang sepatutnya turut berpuasa adalah mata (pandangan), telinga (pendengaran), lidah (percakapan), kemaluan, tangan dan kaki daripada perkara-perkara yang haram,” jelasnya.
Mohd Khairuddin turut mengingatkan umat Islam agar tidak berpuasa pada hari-hari yang diharamkan iaitu pada dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) serta tiga hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!