Dua rumah teres terbakar, tiada mangsa terlibat
PERAI - Dua buah rumah teres terbakar manakala lima lagi terkena bahang api dalam kebakaran di Lorong Sembilang 14, Taman Sembilang, Seberang Jaya di sini pada petang Khamis.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Pegawai Bomba Kanan II Shahrul Munawer Taharen berkata, peratusan kemusnahan rumah pertama adalah 70 peratus manakala rumah kedua, 50 peratus.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 petang dan tiba di lokasi kejadian 25 minit kemudian.
"Kebakaran melibatkan tujuh buah rumah kluster dua tingkat Kelas A berkeluasan 20x40 kaki persegi bagi setiap unit.
"Peratusan kebakaran rumah pertama dianggarkan sebanyak 70 peratus dan rumah kedua sebanyak 50 peratus manakala lima buah rumah berhampiran hanya terkena kesan bahang daripada kebakaran tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, anggota dan pegawai bomba bertugas telah membuat 'size up' dan bertindak menjalankan kerja-kerja pengawalan api dan pemadaman.
"Kebakaran dapat dikawal pada jam 7.54 malam dan padam sepenuhnya pada jam 8.07 malam.
"Kita seterusnya menjalankan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan tiada faktor membahayakan yang lain. Operasi tamat pada jam 9.53 malam dan kita menyerahkan kes di lokasi kepada pegawai penyiasatan kebakaran untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Ujar beliau, tiada mangsa terlibat dalam kebakaran berkenaan.
"Seramai 21 anggota dan pegawai bomba dari BBP Perai, BBP Butterworth dan BBP Penanti terlibat dalam operasi tersebut.
"Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!