'Rugi tak panggil Arif Aiman'

ARIF AIMAN
ARIF AIMAN
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) seharusnya memainkan peranan penting memastikan tonggak sayap lincah, Arif Aiman Hanapi dapat menyertai skuad Harimau Muda pada pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2024 di Qatar, April depan.

Penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, Arif Aiman merupakan tonggak penting kepada pasukan B-23 dan JDT sebagai majikan perlu memastikan khidmat pemain tersebut diutamakan untuk membantu pasukan negara pada kejohanan itu.

Menurutnya, selain menjadi nadi kepada skuad B-23, pentas Piala Asia itu juga bakal menjadi medan utama untuk Arif Aiman menyerlah dan menarik tumpuan pemerhati bola sepak dunia.

“Kita mahu melihat secara strategiknya bagaimana Arif Aiman dapat dimainkan dalam pasukan B-23 dan kemudiannya macam mana dia dapat mempengaruhi keyakinan rakan-rakan sepasukan yang lain.

“Ia juga satu tempat (Piala Asia) kelab luar menghantar wakil mereka untuk mencari bakat baharu supaya dapat diserap dalam pasukan mereka. Inilah kaedah pemasaran pemain yang perlu dilihat secara positif oleh Arif Aiman dan JDT.

“Namun, jika alasan kejohanan itu bukan dalam kalendar FIFA menjadi sebab mereka tidak mahu melepaskan Arif Aiman, sudah tentu ia agak mengecewakan. Ini adalah pasukan negara dan bermain untuk negara, bukan untuk kepentingan peribadi,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan mengharapkan skuad B-23 dapat memanggil Arif Aiman bagi mengharungi pentas bola sepak tertinggi Asia itu.

Namun, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin membayangkan pemain berusia 21 tahun itu tidak akan dapat menyertai skuad B-23, selain menegaskan pemain sudah beraksi dengan skuad senior kebangsaan tidak akan turun ke pasukan muda.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sadek berkata, FAM sudah tentu mahu menggunakan khidmat Arif Aiman tetapi mendakwa berdepan beberapa ‘kekangan’ untuk memanggilnya.

“Kita tahu di sebalik pe-ngurusan itu ada kekangan yang tidak diutarakan oleh pihak FAM dan kita hormat kata berlapik FAM.

“Kalau kita nak pertikai, tidak ada kuasa kerana yang boleh buat rundingan itu adalah antara JDT dan FAM. Pasukan lain juga boleh melepaskan pemain mereka mewakili negara dan kenapa JDT tidak?

“Jika tidak berhasil, akhirnya yang rugi ialah Arif Aiman, pasukan negara dan rakan-rakan dalam skuad B-23,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!