Gubal undang-undang khusus tangani derhaka terhadap institusi raja
SHAH ALAM - Satu undang-undang khas perlu digubal untuk mengawal sebarang tindakan derhaka terhadap institusi raja-raja Melayu sejajar dengan prinsip Rukun Negara.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, institusi raja bukan modal untuk sesiapa meraih dividen politik bagi survival mana-mana individu atau parti.
Menurutnya, ia harus dimartabat, dipelihara dan dihormati.
"Kenyataan yang dibuat oleh beberapa pimpinan politik terhadap institusi raja baru-baru ini menunjukkan satu sikap yang tidak beradab dan mewujudkan prasangka terhadap institusi raja-raja.
"Pemuda UMNO Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak menghormati institusi raja dan akan terus menegur mana-mana individu atau parti yang melakukan sedemikian.
"Pemuda UMNO juga menyarankan agar satu undang-undang khas digubal oleh kerajaan dan Parlimen untuk mengawal sebarang tindakan tidak beradab malah derhaka terhadap institusi raja-raja Melayu sejajar dengan prinsip Rukun Negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini.
Selain itu, beliau turut membangkitkan mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Pembukaan Parlimen Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas baru-baru ini.
"Kedua-dua ahli politik ini membuat satu kenyataan yang tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan serta nasihat kepada raja-raja Melayu.
"Saya yakin konteks yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor adalah bertujuan untuk memastikan keharmonian, kestabilan dan kesatupaduan rakyat Malaysia terus terpelihara serta fokus diberikan sepenuhnya kepada usaha memajukan negeri dan negara.
"Saya juga yakin bahawasanya, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor amat arif dan mendapat nasihat serta pandangan yang cukup berkenaan soal perlembagaan dan tugas sebagai pemelihara Islam sebagai agama rasmi Malaysia," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!