Pesta kutip kepah di pantai Tanjung Lumpur
KUANTAN - Suasana di pesisir pantai Tanjung Lumpur di sini bagaikan pesta apabila menjadi tumpuan pengunjung mengutip kepah sejak dua minggu lalu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai mengambil peluang berkunjung ke pantai berkenaan bersama keluarga apabila air laut surut terutama bermula jam 3 petang.
Mereka membawa alatan seperti pencakar besi dan menggunakan penutup kipas angin sebagai dulang untuk menapis dan mengasingkan pasir yang digali.
Lebih menarik, mereka sanggup berpanas selama berjam-jam di tepi pantai untuk mengutip hidupan laut itu bersama keluarga untuk dijadikan makanan.
Peniaga, Nora Ismail, 60, dari Jengka berkata, peluang datang ke daerah ini untuk mendapatkan daun palas bagi jualan ketupat sejuk beku dimanfaatkan dengan mencari kepah di pantai itu.
"Saya membawa lima cucu di pantai Tanjung Lumpur untuk beriadah dan mandi-manda.
"Kita singgah la sekejap di sini, sambil itu cari kepah dapat hasil boleh buat masak lemak untuk sekali makan.
"Kalau tengok cucu-cucu semua seronok mereka bukan main air tapi mengali sekali dan bila mereka jumpa kepah nampak teruja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pesisir Pantai Tanjung Lumpur di sini pada petang, Khamis.
Pekerja swasta, Khairul Azman Borhan, 27, mengakui datang ke sini selepas mendapat tahu daripada orang ramai mengenai kemunculan spesies laut itu.
Justeru, dia membawa anak saudara untuk bermain air dan mencari kepah di sini.
"Saya datang dalam jam 3 petang, air laut surut dan boleh mencari. Sepanjang sejam mencari banyak juga hasil yang dapat," katanya.
Sementara itu, peniaga, Zubir Mohd Isa, 47, mengetahui tentang kemunculan kepah itu daripada rakannya.
Bapa kepada empat anak berkata, dia tergerak hati untuk melihat kejadian itu dan mendapati ramai penduduk setempat datang mencari kepah.
"Bila datang itu adalah hasilnya, boleh anak saya masak kepah tiga rasa malam nanti," katanya yang datang seawal jam 3 petang dari Jaya Gading.
Yusri Ariffin, 36, yang bekerja sendiri juga tidak melepaskan peluang untuk mencari kepah di pesisir pantai terbabit.
Menurutnya, mencari kepah ini perlu sabar dan menggunakan pencakar besi untuk memudahkan mencari.
"Kalau gali pakai tangan atau boleh juga tapi kena tekan dekat pasir, agak sukar sikit.
"Tapi kalau guna pencakar besi rasa macam ada batu ’ maksudnya ada kepah di sini," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!