Selangor perlu segera noktahkan kilang haram
SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menggesa kerajaan negeri segera menoktahkan kewujudan kilang-kilang haram di Selangor.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, tempoh pemutihan iaitu Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) yang digerakkan sejak 31 Julai 2006 hingga 31 Disember 2020 sudah tamat namun isu kilang haram dakwanya seperti tiada penyelesaian.
Menurutnya, sebanyak 7,452 kilang haram dikenal pasti di seluruh negeri ini sehingga tahun lalu yang kebanyakannya dibina tanpa menukar syarat nyata tanah terlebih dahulu.
"Walaupun sudah diberi peluang untuk membuat pemutihan, kilang-kilang haram ini tetap berdegil.
"Apa yang mengejutkan, hanya 7.3 peratus yang tampil membuat permohonan tukar syarat nyata tanah kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) berkaitan.
"Belum lagi jika diambil kira data permohonan kebenaran merancang, permit mahu pun lesen yang diterima oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan. Sangat mengecewakan," katanya menerusi kenyataan.
Katanya, angka itu membuktikan kerajaan negeri sangat tidak tegas bagi membanteras kewujudan kilang-kilang haram ini.
"Kilang haram ini bukan sahaja tidak mendatangkan apa-apa hasil kepada kerajaan Selangor, bahkan turut menjejaskan ekosistem setempat dengan menghasilkan pelbagai jenis pencemaran seperti pencemaran air.
"Selangor cukup terkenal dengan isu gangguan air tidak berjadual. Alasan yang kerap diberitahu ialah sumber air mentah di loji rawatan air tercemar," katanya.
Kata beliau, dapatan pada 2020 mendapati daripada 5,589 kilang haram yang beroperasi, 869 daripadanya daripada berada di sekitar sungai.
"Kilang-kilang haram sudah pasti tidak segan silu membuang segala sisa buangannya terus ke dalam sungai.
"Sikap tidak bertanggungjawab ini membuatkan air sungai tercemar, seterusnya loji rawatan air terpaksa ditutup.
"Kesannya, rakyat tidak dapat menerima bekalan air bersih secara tidak berjadual.
"Perkara ini sangat memalukan bagi sebuah negeri yang maju dan kaya seperti Selangor dan kerajaan terpaksa membelanjakan wang rakyat untuk merawat semula air yang tercemar," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!