Pemuda buat aksi 'superman' dijel sehari, denda RM5,000
MELAKA - Tindakan seorang pemuda yang membahayakan diri dengan melakukan aksi 'superman' menerima balasan apabila dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, pada Jumaat.
Majistret, Mazana Sinin memutuskan hukuman demikian selepas Muhammad Nuraiman Rosman, 23, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal dengan keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain di Lebuh AMJ lampu isyarat Bukit Piatu,di sini pada jam 2.15 pagi 3 September lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda minimum RM5,000 serta tidak lebih RM15,000, jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menahan tertuduh menerusi Op Samseng Jalanan selepas didapati menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi menundukkan kepala separas pemegang sambil memotong kenderaan lain secara 'zig zag'.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf kesilapan dilakukan selain hanya membantu ibu menjual kuih.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Naim Abd Jalil memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran selain lesen tertuduh turut dibatalkan.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dipenjara satu hari dan didenda RM5,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar.
Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun bermula dari tarikh tertuduh disabitkan pada Jumaat.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!