Kontroversi La Luna, Shaheizy Sam terbuka terima pandangan

Sam merasakan setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza dalam melontarkan pendapat. Foto ASTRO
Sam merasakan setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza dalam melontarkan pendapat. Foto ASTRO
A
A
A

AKTOR yang juga bintang utama La Luna, Shaheizy Sam terbuka menerima pandangan mengenai filem berkenaan kerana berpendapat setiap orang mempunyai hak masing-masing untuk melontarkan pendapat.

Bagaimanapun tegas pemilik nama penuh Shaheizy Sam Abdul Samad, 41, sebagai pelakon, dia juga tahu apa yang dilakukan dan tidaklah sampai tahap mengetepikan agama atau berfikiran liberal seperti didakwa segelintir pihak terhadap filem berkenaan.

"Ada sebab mengapa saya tidak memberi apa-apa komen sejak awal kerana bagi saya setiap manusia ada pandangan yang berbeza. Jadi pandangan siapa yang kita nak ambil?

"Kalau bercakap tentang nawaitu kenapa kita buat sesuatu perkara, hanya ALLAH SWT yang tahu niat kita,” katanya.

Sam mengulas perkara itu ketika ditemui selepas majlis pelancaran program Ramadan Astro 2024 di sebuah hotel di Bukit Kiara pada Khamis.

Tambah pelakon yang kini muncul dengan drama bersiri Takdir Itu Milik Aku, dia juga ada berbual dengan ustaz ketika menunaikan umrah baru-baru ini dan rata-rata mempunyai pandangan masing-masing.

Bahkan ada juga yang mengakui sudah menonton filem berkenaan dan memberikan respons positif.

"Semua itu berbalik kepada seseorang individu itu bagaimana dia kaitkan dengan kehidupan sendiri atau orang lain atau dengan agama. Itu hak masing-masing dan saya terima pandangan semua orang.

Artikel Berkaitan:

“Saya tak mahu beri pandangan sebab mungkin ia tidak boleh diterima oleh orang lain. Jadi, terpulang pada hati masing-masing bagaimana hendak hukum filem itu," jelasnya.

Dalam masa sama, Sam berpendapat Lembaga Penapisan Filem (LPF) menjadi 'penjaga gol' terbaik untuk memastikan setiap filem yang ditayangkan bersesuaian mengikut lapisan usia.

"Saya rasa selamat sebab kita ada LPF dan saya tak rasa LPF akan lepaskan filem yang mungkin tidak sesuai ditonton oleh penonton filem tempatan.

“Bagi saya, filem La Luna adalah salah satu naskhah kegemaran saya sepanjang hayat.

"Pemikiran saya juga tidak sampai ke tahap liberal sehingga mengenepikan agama atau sebaliknya.

“Apapun, semuanya berbalik kepada pandangan setiap individu dan bagaimana mereka mahu nilaikan filem itu,” katanya.

Terdahulu, filem La Luna yang ditayangkan menerusi platform penstriman, Netflix pada 9 Februari lalu, mendapat kecaman netizen kerana didakwa bertentangan dengan nilai dan adab Islam selain menyelitkan elemen ‘soft porn’ sehingga boleh mengundang persepsi buruk masyarakat.

Filem yang diarahkan oleh pengarah dari Singapura, M Raihan Halim terlebih dahulu menemui penonton di pawagam pada 9 November tahun lalu dan turut dibintangi Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nissa, Nam Ron, Farah Ahmad dan Iedil Dzuhrie Alaudin.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!