20 warga emas terlibat aktiviti perjudian ditahan

Dua puluh warga emas antara 97 individu ditahan kerana terlibat kegiatan perjudian dalam 14 serbuan menerusi Op Limau 2024 dilaksanakan selama 10 hari bermula 15 Februari lepas. Gambar hiasan
Dua puluh warga emas antara 97 individu ditahan kerana terlibat kegiatan perjudian dalam 14 serbuan menerusi Op Limau 2024 dilaksanakan selama 10 hari bermula 15 Februari lepas. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Dua puluh warga emas antara 97 individu ditahan kerana terlibat kegiatan perjudian dalam 14 serbuan menerusi Op Limau 2024 dilaksanakan selama 10 hari bermula 15 Februari lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, Op Limau 2024 dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bagi membanteras kegiatan perjudian dan pelacuran di negeri itu.

Beliau berkata, dalam operasi aktiviti perjudian, sebanyak 10 lokasi dalam bangunan dan empat kawasan di tempat bebas telah diserbu sebelum menahan 97 individu berusia 18 hingga 75 tahun.

"Daripada jumlah itu, 20 orang adalah warga emas dan 35 individu yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah. Polis turut merampas pelbagai barangan yang digunakan dalam kegiatan perjudian dan wang tunai sebanyak RM40,197," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1) dan 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mohamed Usuf dalam serbuan pelacuran atau noda, JSJ Pulau Pinang melakukan 46 serbuan terhadap premis disyaki menjalankan kegiatan pusat hiburan tanpa lesen dan memberi khidmat pelayan serta pelacuran di seluruh negeri.

Hasil serbuan, polis menahan 73 individu termasuk 47 wanita terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang kesemuanya berusia 20 hingga 60 tahun serta merampas pelbagai barang dan wang tunai RM3,345.

"Kesemua yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan bagi maksud persundalan dan Seksyen 6(1) Enekmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1988," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, warga asing yang ditahan turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963.

Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, polis Pulau Pinang merekodkan 254 serbuan menerusi Op Noda dengan 376 individu ditahan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!