Warga emas mabuk dipenjara sehari, denda RM10,000
MELAKA - Gara- gara menunggang motosikal dalam keadaan mabuk, seorang warga emas dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, pada Jumaat.
Majistret, Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Toong Chen Qen, 63, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, dia yang menunggang motosikal didapati mempunyai kadar alkohol sebanyak 191 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) darah melebihi tahap dibenarkan 50 mg per 100 ml darah.
Tindakan itu dilakukan di Jalan Tamby Abdullah, di sini, kira-kira jam 2.30 pagi pada 2 September tahun lalu.
Kesalahan yang dilakukan tertuduh dijalankan mengikut Seksyen 45(A)(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan) 2020 yang boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 hingga RM30,000 jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana menyara tiga anak termasuk ibu yang telah uzur.
Ujarnya, bukan pemabuk tegar namun ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas meraikan hari jadi rakannya.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Naim Abd Jalil memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau tambahan empat bulan penjara jika gagal bayar selain lesennya digantung selama dua tahun.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!