Konvoi lebih 350km demi RXZ Fighter

A
A
A

KUANTAN - Peminat permotoran di seluruh negeri sanggup menunggang motosikal beratus kilometer (KM) untuk hadir memeriahkan program RXZ Fighter yang berlangsung di Serambi Teruntum selama dua hari bermula Jumaat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai dan para peserta sudah mula berkumpul di Serambi Teruntum.

Mereka tidak melepaskan peluang untuk bergambar sebelum acara rasmi program itu dijadualkan berlangsung pada Sabtu.

Rata-rata mereka mengaku sudah tidak sabar untuk menyertai program yang julung kali diadakan di daerah ini.

Bagi, Nik Azirul Ismail, 34, dari Kuala Krai, Kelantan mengakui gembira kerana berpeluang menyertai program RXZ Fighter di negeri ini.

Nik Azirul merakam gambar kenangan di RXZ Fighter pada Jumaat.
Nik Azirul merakam gambar kenangan di RXZ Fighter pada Jumaat.

Dia yang bekerja sendiri berkata, kehadiran ke daerah ini bersama sekumpulan peminat RXZ dengan menunggang sejauh lebih 350 km.

"Saya bersama rakan-rakan bergerak dari Kelantan seawal jam 4 pagi dengan melalui LPT (Lebuh Raya Pantai Timur). Kami tiba di sini (Serambi Teruntum) kira-kira jam 2 petang.

Artikel Berkaitan:

"Kami ke sini untuk mengambil gambar kenangan sebelum acara esok dan masa yang ada ini kami berjalan-jalan (melawat) di kawasan sekitar Kuantan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Serambi Teruntum di sini pada Jumaat.

Naveen (kanan) dan Suresh (kiri) bersama seorang lagi rakannya daripada Kajang bergambar di pentas RXZ Fighter ketika ditemui di Serambi Teruntum pada Jumaat
Naveen (kanan) dan Suresh (kiri) bersama seorang lagi rakannya daripada Kajang bergambar di pentas RXZ Fighter ketika ditemui di Serambi Teruntum pada Jumaat

K Naveen, 26, dari Kajang, Selangor pula berkata, ini kali pertama menunggang RXZ miliknya selepas sekian program seperti ini diadakan.

"Motor ini sudah lama parkir di rumah, jadi bila ada program mesti saya gembira sebab boleh berjalan jauh.

"Saya tidak pernah lagi datang ke Kuantan, jadi boleh pusing (meronda) kawasan sekitar," katanya yang bekerja di sebuah syarikat perbankan.

Naveen memberitahu penyertaan dalam program ini adalah untuk menambah kenalan khususnya daripada peminat motosikal di seluruh negara.

"Kalau ada ramai kawan, kita boleh berkongsi cara membaiki motosikal, cara menghiasi motosikal dan sebagainya. Jadi, kita boleh berkongsi idea dan pendapat daripada mereka," ujarnya.

Menurut, K Suresh, 26, kehadirannya ke negeri bersama dengan tiga rakannya dari Kajang, Selangor, seawal jam 7.30 pagi.

Suresh
Suresh

Katanya, kehadiran ke sini semata-mata untuk menyambut program RXZ Fighter.

"Kami bertiga berkonvoi dan beberapa kali berhenti untuk isi minyak serta berehat. Kami sebenarnya teruja sebab ini kali pertama datang ke Pahang," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik menasihatkan kepada penunggang motosikal lain supaya berhati-hati di jalan raya bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara tidak diingini.

Sementara itu, Exco Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, RXZ Fighter yang julung kali dianjurkan itu diharap mencapai objektif.

Menurutnya, RXZ Fighter dianjurkan Kerajaan Pahang dengan kerjasama Kelab Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Parlimen Bera serta menyediakan pelbagai program sepanjang dua hari itu.

Suasana di sekitar Serambi Teruntum pada Jumaat.
Suasana di sekitar Serambi Teruntum pada Jumaat.

Katanya, antara pengisian pada hari ini ialah jualan basah dan kering, forum agama dan persembahan CSE Busker Kuantan

"Pada esok (Sabtu) acara bermula dengan solat Subuh macam Jumaat bersama peminat permotoran di dua masjid iaitu Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan Masjid Kampung Padang, seterusnya ketibaan peserta RXZ Fighter, pelbagai pertandingan, pameran permotoran serta jualan," ujarnya.

Beliau memberitahu program juga mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau keadaan lalu lintas, termasuk memberikan taklimat berkaitan keselamatan permotoran.

"Kami harap peminat permotoran, terutama yang menunggang RXZ ke Kuantan, mematuhi peraturan jalan raya demi menjaga keselamatan bukan sahaja diri sendiri, malah pengguna lain," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!