Makmal 5G pertama di Malaysia
BAGI menggalakkan penggunaan teknologi rangkaian 5G di Malaysia, Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) dan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) menawarkan OpenLab 5G untuk semua pengguna.
Makmal 5G pertama di Malaysia yang terletak di RekaScape Cyberview, Selangor itu turut menggalakkan ahli akademik, universiti, pembangun rangkaian dan perniagaan berdaftar menguji keupayaan teknologi dan aplikasi yang ditawarkan.
Setakat ini, sebanyak 44 permohonan yang mana 13 teknologi menerima lampu hijau untuk fasa ujian manakala lapan lagi telah melepasi ujian sudah dijalankan.
Ketua Pegawai Digital Digi, Praveen Rajan percaya bahawa cara terbaik untuk mendorong penggunaan rangkaian generasi kelima di negara ini adalah melalui pendekatan kerjasama membina ekosistem 5G bersama.
“Makmal 5G yang didedikasikan semata-mata untuk melakukan ujian merupakan satu langkah penting demi pembangunan 5G selain menggalakkan pembangun teknologi tempatan lebih berinovasi.
“Kami percaya akan ada lebih banyak potensi baharu bakal dilaksanakan seiring penciptaan aplikasi terkini melalui platform yang disediakan,” kata Praveen yang berusaha untuk memastikan OpenLab 5G berada pada tahap optimum.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pembangunan Hub Teknologi OpenLab 5G, Shafinaz Salim berkata, RekaScape dibina sebagai satu pusat holistik untuk mencipta, menyambung, berkembang dan berinovasi tanpa sempadan.
“Penglibatan secara langsung dengan pemohon yang menjalankan ujian di pusat ini bertujuan untuk membantu ciri penambahbaikan yang membolehkan ujian seterusnya dijalankan dengan mudah.
“Sudah menjadi harapan kami supaya pemangkin usahawan komuniti bukan sahaja bersedia berdepan ledakan 5G bahkan berada pada kedudukan terbaik dalam mengembangkan perusahaan mereka melalui teknologi sama,” ujarnya dalam satu kenyaaan kepada e-Trend baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!