Penduduk tak lena tidur, terpaksa tadah air awal pagi

Ahmad Lutfi menunjukkan tangki air di luar rumah bagi menakung air akibat gangguan bekalan yang berlarutan.
Ahmad Lutfi menunjukkan tangki air di luar rumah bagi menakung air akibat gangguan bekalan yang berlarutan.
A
A
A

GURUN - Sebahagian penduduk Taman Gurun Jaya di sini yang berdepan gangguan bekalan air, tidak mampu melelapkan mata kerana terpaksa 'menunggu' sehingga awal pagi untuk mendapatkan bekalan tersebut.

Penduduk, Mokhtar Ramli, 55, mendakwa, kebanyakan penduduk terjejas terpaksa menunggu sehingga jam 2 hingga 3 pagi semata-mata mahu menadah air bagi kegunaan seharian.

Beliau berkata, ia berikutan bekalan air hanya ada pada waktu tertentu terutama tengah malam dan awal pagi.

"Kami tak tahu hidup 'zaman' mana, musim panas tiada air, musim hujan juga tiada air, dikatakan di sini kawasan tinggi, tekanan tak kuat.

"Itu tak masuk lagi alasan paip bocor dan lain-lain.

"Syarikat Air Darul Aman (SADA) perlu tahu bagaimana nak atasi, benda ini bukan baharu, dah lama," dakwanya.

Salah seorang penduduk menunjukkan tangki air di Taman Gurun Jaya, Gurun, Kedah.
Salah seorang penduduk menunjukkan tangki air di Taman Gurun Jaya, Gurun, Kedah.

Dakwa Mokhtar, terdapat sebuah tangki besar dalam kawasan perumahan berkenaan, namun beliau hairan gangguan air tetap berlaku.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Normatun Bakridun, 61, terpaksa meminta agar anak dan cucunya memendekkan tempoh cuti di rumah memandangkan ketiadaan bekalan air.

Normatun mendakwa, sejak menetap di situ pada 2015, gangguan bekalan air sering berlaku dan mengganggap kali ini adalah yang terburuk.

"Sedih rasa hati nak beritahu anak-anak yang balik bercuti dari luar daerah bila di rumah tak ada air.

"Bukan niat nak suruh mereka balik cepat tetapi kasihankan cucu yang masih kecil, nak mandi dan cuci lampin pakai buang tidak selesa apabila tiada air.

"Sekarang ni dalam pukul 3 hingga 6 pagi air muncul, kena tunggulah... jangan pelik bila ada penduduk taman ini yang siram pokok jam 3 pagi sebab waktu lain tiada bekalan," dakwanya.

Normah Ismail, 56, berkata, menjadi rutin penduduk terjejas berjaga malam semata-mata untuk mendapatkan bekalan air bersih selepas jam 2 pagi.

Keluarga Normah terpaksa membelanjakan ribuan ringgit bagi menyediakan pam dan tangki tambahan akibat sering terputus bekalan.
Keluarga Normah terpaksa membelanjakan ribuan ringgit bagi menyediakan pam dan tangki tambahan akibat sering terputus bekalan.

Katanya, disebabkan tekanan rendah dan bagi membolehkan air masuk melalui paip dalam rumah, dia terpaksa mengeluarkan modal tinggi membeli pam dan tangki air tambahan.

"Kami terpaksa berhabis ribuan ringgit untuk beli empat tangki tambahan termasuk yang bersaiz besar untuk memastikan dapat simpan air.

"Setiap malam kami dah macam burung hantu berjaga malam.

"Apabila ada air, cepat-cepat tadah, cuci baju dan sebagainya, lepas itu saya mandi dan bersiap untuk pergi kerja pula, masa tidur pun berubah," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Lutfi Romly, 65, mendakwa, penduduk beranggapan bahawa mereka seolah-olah dipinggirkan apabila menjadi lokasi terakhir menerima bekalan air sedangkan taman itu wujud lebih awal berbanding kawasan perumahan lain.

"Kami dimaklumkan kawasan rumah ini agak tinggi kerana berdekatan dengan kaki Gunung Jerai tetapi pada ketika ini, alasan itu tidak sepatutnya dinyatakan, perlu pelbagai cara untuk atasi.

"Nampak macam terdesak sangat apabila lori air lalu, penduduk terkejar-kejar minta hantar ke rumah, sedangkan bekalan itu untuk penduduk bahagian lain, kami juga perlu ke tempat kerja, ada urusan lain yang perlu diselesaikan, bukanlah tunggu lori sepanjang masa," katanya.

Jelasnya, keadaan cuaca panas juga menjadi faktor utama penggunaan air yang tinggi dalam kalangan penduduk bagi mengelakkan jatuh sakit dan dehidrasi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, gangguan bekalan air berlaku di kawasan perumahan yang mendapat bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Tupah, LRA Gurun dan LRA Merbok.

Selain itu, katanya, gangguan bekalan air yang berlaku di Taman Gurun Jaya adalah akibat kesan fenomena El Nino sehingga menyebabkan kapasiti pengeluaran air bersih di beberapa LRA separa proses (headwork) yang bergantung kepada air bukit, terjejas.

"Kita sedia maklum, sekarang musim kemarau, sumber air mentah berkurangan, kawasan yang kritikal iaitu tiada lansung bekalan air dalam paip, SADA akan hantar dengan lori.

"Kita ada 91 buah lori di seluruh Kedah sentiasa siap sedia untuk berkhidmat.

"Insya-ALLAH, masalah akan dapat dikurangkan apabila berakhir musim kemarau," katanya ketika dihubungi.

Beliau turut berharap agar projek menaik taraf LRA Bukit Selambau dan empat lagi LRA di Kedah berjalan lancar dan akan siap mengikut jadual.

"Apabila lima projek LRA ini siap kelak, ia dijangka menyelesaikan gangguan bekalan air di Kedah," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!