'Kerajaan tidak boleh lewat kenal pasti potensi ekonomi baharu'

Reezal Merican. Foto Bernama
Reezal Merican. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pemetaan ekonomi masa hadapan Melayu dan bumiputera perlu seiring dengan sumber kekayaan baharu dunia yang merangkumi enam sektor ekonomi masa hadapan.

Ia merangkumi sektor ekonomi berteraskan internet benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan data raya (big data); kesihatan, kecantikan dan motivasi; pelepasan sifar; ekonomi kitaran; bio-bahan, loji penapis biologi, pertanian; dan berteraskan pelancongan.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Kerajaan Madani tidak boleh lewat dalam mengenal pasti kekuatan dan potensi ekonomi baru, sekali gus membina kekuatan ekonomi bersesuaian.

Beliau berkata, ia bermakna tumpuan perlu berubah daripada ‘penguasaan’ kepada soal 'penyertaan sebenar' oleh pemain ekonomi baru tanpa terus membiarkan kekayaan berlegar dalam kalangan konglomerat yang dipayungi keistimewaan sejak berdekad lamanya.

"Selain daripada itu, neraca dan mizan nilaian perekenomian Melayu dan bumiputera sudah perlu kita tafsirkan semula.

"Selain daripada milikan perniagaan, elok juga kemampuan ekonomi bumiputera dinilai dalam bentuk peratusan pampasan pekerja kepada KDNK (keluaran dalam negara kasar) negara.

"Daripada keseluruhan data pampasan pekerja, berapa peratus sebenarnya masuk terus ke poket Melayu dan bumiputera? Dengan keadaan ekonomi yang menduga, aspek kemampuan kuasa beli harian juga jangan kita pinggirkan.

"Jurang ini juga perlu ditangani dan dilihat segera oleh Kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis mencadangkan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.

Transformasi Ekonomi Bumiputera sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 itu, turut menggariskan tiga matlamat utama untuk dicapai, melibatkan Keadilan Sosio-Ekonomi, Kemampanan Negara Bangsa serta Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.

Mengulas lanjut, Reezal Merican memuji usaha kerajaan melaksanakan kongres, khusus untuk membincangkan masa hadapan ekonomi bumiputera, ketika keadaan ekonomi negara masih belum berada di tahapnya yang terbaik.

Ujarnya, ruang serta peluang penyertaan yang lebih strategik kepada pemain ekonomi Melayu dan bumiputera bagi membolehkan pemilikan dan penguasaan yang benar-benar signifikan, perlu diperkukuhkan.

"Saya mencadangkan agar Kementerian Ekonomi turut mencerakin Anggaran Peruntukan Mengurus Belanjawan 2024 (RM303.80 bilion), bagi menerangkan kepada rakyat aspek penerima sebenar kepada ikhtiar bersungguh Kerajaan menjaga kepentingan semua kaum.

"Jika berasaskan Agihan Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2024 (Sektor Sosial) sekalipun, kita tahu ia akan melihat aspek keadilan sosial secara menyeluruh," katanya.

Tambah beliau lagi, sifir mudah Madani adalah berlaku adil kepada semua, tanpa mengira ras dan kaum namun, angka penerima sebenar pastinya masih memihak kepada Melayu dan Bumiputera.

"Ini merupakan keadilan sosial yang diterima semua," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, kaum Melayu dan bumiputera perlu mempunyai sedikit keyakinan, bahawa kerajaan melihat aspek perekonomian secara yang menyeluruh.

"Kita tidak bermula di titik sifar. Kekuatan asasnya sudah ada. Yang perlu diperkukuh adalah modal insan masa hadapan yang berani bersaing secara terbuka," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!