KEB 2024 titik tolak ubah nasib bumiputera khusus di Sabah, Sarawak

KEB 2024 menjadi titik tolak untuk mengubah nasib bumiputera khususnya di Sabah dan Sarawak yang masih jauh ketinggalan bukan sahaja dari segi pembangunan ekonomi, malah pendidikan dan kebajikan sosial. Foto Bernama
KEB 2024 menjadi titik tolak untuk mengubah nasib bumiputera khususnya di Sabah dan Sarawak yang masih jauh ketinggalan bukan sahaja dari segi pembangunan ekonomi, malah pendidikan dan kebajikan sosial. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 menjadi titik tolak untuk mengubah nasib bumiputera khususnya di Sabah dan Sarawak yang masih jauh ketinggalan bukan sahaja dari segi pembangunan ekonomi, malah pendidikan dan kebajikan sosial.

Bendahari Agung Pertubuhan Kadazan Sabah (KSS), Humfrey J Suimin berkata, KEB 2024 mampu menjadi pemangkin untuk memfokuskan lebih banyak usaha ke arah merealisasikan tiga aspek iaitu pendidikan, keusahawanan dan pembangunan fizikal di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, rakyat di Sabah dan Sarawak harus diberikan pendidikan berkualiti yang akan mengubah nasib mereka selain anak muda perlu dididik serta dipupuk menjadi usahawan.

Katanya, pembangunan fizikal seperti kemudahan air, elektrik, Internet dan jalan raya perhubungan di Sabah serta Sarawak, meliputi akses ke kawasan pedalaman perlu dipesatkan lagi supaya pembangunan seimbang membuka peluang kepada rakyat di kedua-dua negeri itu seiring dengan Semenanjung.

"Memperbaiki ekosistem pembangunan di Sabah dan Sarawak secara keseluruhan dengan meningkatkan kualiti pendidikan, peluang ekonomi, peluang pekerjaan dan kebajikan sosial agar mereka tidak lagi ketinggalan berbanding Bumiputera dan bangsa lain di Semenanjung," katanya kepada Bernama pada hari kedua KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Jumaat.

Justeru, dalam memastikan matlamat KEB 2024 tercapai, Humfrey berkata, Kongres kali ini perlu lari daripada retorik dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pelaksanaan semua rancangan dan resolusi yang telah digariskan.

Beliau menyifatkan pendekatan KEB 2024 berbeza berbanding sebelumnya kerana melibatkan ahli-ahli panel bangsa lain seperti Cina dan India.

"Kelainan ini dapat memberi perspektif baru dalam membangunkan bumiputera bersama-sama dan seiring dengan bangsa lain sambil berkongsi kek ekonomi," katanya.

Artikel Berkaitan:

KEB sebelum ini memfokuskan kepada pemerkasaan Bumiputera sahaja iaitu merangkumi Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak terdiri daripada Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Dayak dan lain-lain.

"KEB 2024 kali ini lebih inklusif dan menyeluruh. Ia mengajak bangsa-bangsa lain untuk bersama-sama membangunkan bumiputera agar 'tiada siapa ketinggalan," katanya.

Beliau berkata, kejayaan dan kemakmuran bangsa bumiputera sebagai bangsa majoriti di Malaysia hanya akan menguntungkan semua pihak sekali gus mengharmonikan negara secara keseluruhan.

KEB yang berlangsung tiga hari bermula semalam bertujuan mencari hala tuju serta pendekatan baharu dan penambahbaikan agenda pemerkasaan bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif. Ia melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus meliputi 10 kumpulan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28